Home Nasional Banjir melanda negara

Banjir melanda negara

Jalan Muadzam-Rompin dinaiki air selepas hujan lebat sejak malam tadi.

KUALA LUMPUR – Jalan utama di Rompin ditutup bagi kenderaan kecil kerana air naik selepas hujan lebat sejak awal malam tadi.

Seorang pembaca MalaysiaGazette memaklumkan, Jalan Muadzam ke Rompin, dekat Kampung Kedaik dan Jalan Segamat-Muadzam, berhampiran Felda Pemanis tidak dapat digunakan sejak pukul 11 pagi.

Air lumpur yang naik di jalan-jalan berkenaan menyebabkan ia bahaya bagi kenderaan kecil.

Sementara itu Bernama melaporkan di Johor, jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 2,051 orang setakat 1 tengah hari ini berbanding 1,457 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Alam Sekitar Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada 470 keluarga itu ditempatkan di 29 pusat pemindahan di daerah Segamat, Tangkak, Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Batu Pahat.

Di Perak pula, jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 437 orang daripada 139 keluarga yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan banjir setakat pukul 12 tengah hari ini berbanding 433 orang daripada 109 keluarga pada 8 pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, daerah Manjung masih mencatat jumlah penduduk paling ramai dipindahkan iaitu 246 orang dengan masing-masing 127 berada di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai, manakala 119 di Dewan Orang Ramai Inderawati, Beruas.

Di Pahang, sebanyak enam sekeluarga dari Kampung Sungai Lik, Lipis merupakan mangsa pertama yang dipindahkan di Pahang.

Bagaimanapun, jmlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 2,769 orang setakat 1 tengah hari ini berbanding 3,344 orang pagi tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di 19 pusat pemindahan yang dibuka di jajahan Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Kuala Krai.

Di Negeri Sembilan, sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Bukit Kledek, Gemencheh di Tampin ditutup hari ini berikutan banjir melanda kawasan sekolah berkenaan. – MalaysiaGazette