Home Ekonomi Harga minyak menghampiri AS$60 setong – al-Luabi

Harga minyak menghampiri AS$60 setong – al-Luabi

Jabar Ali al-Luaibi

Sebahagian besar pengeluar minyak utama dunia bersetuju menyertai perjanjian pengurangan minyak bagi membantu mengimbangi pasaran.

OPEC dan pengeluar-pengeluar bebas minyak menguatkuasakan perjanjian itu mulai 1 Januari lalu.

Ternyata usaha itu telah meningkatkan harga niaga hadapan Brent kepada AS$55 setong daripada paras terendah 12 tahun AS$27 setahun lalu.

Menteri Minyak Iraq, Jabar al-Luabi berkata, negara itu telah mengurangkan pengeluaran daripada medan-medan minyak negara dan syarikat-syarikat antarabangsa (IOC) yang bekerjasama dengan Iraq turut menyertainya.

“Kami bekerjasama dengan IOC supaya mereka juga mengurangkan pengeluaran. Kami dalam perjanjian dengan kebanyakan IOC, bukan semua mereka selari dengan kami,” katanya.

Iraq yang merupakan pengeluar minyak kedua terbesar dalam OPEC bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 120,000 tong sehari.

Luabi yang gembira dengan progres perjanjian pengurangan minyak berharap harga minyak akan terus meningkat.

“Harga minyak menghampiri AS$60 setong sekarang. Kami harap ia boleh mencapai paras AS$60 hingga AS$65,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia terlalu awal untuk menyatakan terdapat keperluan untuk meneruskan perjanjian itu sehingga separuh pertama 2017.

“Kita tengok nanti. Kami berpendapat pasaran akan seimbang,” ujar Luabi.

Iraq, kata Luabi berhasrat untuk meningkatkan bekalan pada masa depan sebaik sahaja perjanjian itu berakhir.

“Setakat ini kami berada pada paras 6 hingga 7 juta tong sehari,” katanya. – MalaysiaGazette