Home Nasional Selangor belanja RM100 juta beli Rumah Selangorku

Selangor belanja RM100 juta beli Rumah Selangorku

Iskandar Abd. Samad

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan membelanjakan kira-kira RM100 juta untuk membeli Rumah Selangorku, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abd. Samad.

Beliau berkata, jumlah itu adalah yang ditetapkan kerajaan negeri dalam Belanjawan 2017 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Oktober lalu.

Katanya, Rumah Selangorku yang akan dibeli di bawah Skim Smart Sewa itu akan disewa kepada mereka yang gagal mendapat pinjaman bank untuk membeli rumah.

“Kita telah mengenalpasti sebanyak 260 unit Rumah Selangorku untuk dibeli di bawah skim Smart Sewa dengan kos keseluruhan kira-kira RM46.5 juta.

“Rumah ini akan disewakan kepada mereka yang gagal mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah atau mereka yang belum bersedia untuk membeli rumah,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Menurut Iskandar, unit rumah yang akan dibeli itu ialah Pangsapuri De Kiara sebanyak 30 unit, Pangsapuri De Bayu (30 unit), Pangsapuri Bandar Bukit Raja (50 unit), Apartment Trifolis, Bandar Botanic (30 unit), Jade Hills Kajang (50 unit), Pangsapuri Bandar Rimbayu (50 unit) dan Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh (20 unit).

Kata beliau, penyewa akan mendapat kembali 30 peratus dari sewa yang dibayar setelah tamat kontrak sewaan.

“Wang yang dipulangkan ini akan digunakan untuk membantu mereka membeli rumah sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette