KUALA LUMPUR – Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat milik kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan menyalahgunakan kuasa dan mengambil rasuah.
Suspek berusia 51 tahun dijangka dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan di Mahkamah Jalan Duta esok.
Menurut sumber, suspek akan dituduh atas lima pertuduhan pecah amanah dipercayai dilakukan pada 30 April dan 30 Oktober 2013.
Suspek telah ditahan SPRM kira-kira pukul 3.30 petang, dipercayai menerima wang rasuah menilai kira-kira RM2.5 juta dengan menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan diri sendiri.
Jika disabit kesalahan, suspek boleh dipenjarakan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebatan serta denda.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette