KUALA LUMPUR – Bank of Korea dan Bank Negara Malaysia hari ini memeterai perjanjian untuk memperbaharui pengaturan pertukaran mata wang won Korea dan ringgit Malaysia (KRW/MYR) dua hala.
Jumlah bagi pengaturan ini dikekalkan sebanyak 5 trilion KRW/RM15 bilion, iaitu jumlah yang sama di bawah pengaturan awal yang dimeterai pada 20 Oktober 2013, katanya dalam kenyataan di sini.
Pengaturan pertukaran ini adalah untuk tempoh tiga tahun dan boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama antara kedua-dua Bank Pusat.
Bank Pusat itu menambah, pengaturan ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dengan lebih luas dalam penyelesaian perdagangan.
Langkah ini juga akan mengukuhkan lagi kerjasama kewangan antara kedua-dua negara. – MalaysiaGazette