Home Utama Penuntut Malaysia dihalau dari Jordan

Penuntut Malaysia dihalau dari Jordan

KUALA LUMPUR – Penuntut Malaysia, Ahmad Musa al-Nuwayri Kamaruzaman akan dihalau dari Jordan hari ini selepas enam hari dipenjarakan di negara itu.

Menerusi laman sosial Facebooknya, Musa, 21, mendedahkan, alasan dia  dihalau oleh pihak berkuasa kerana kerana ‘membantu pelarian Syria di Jordan’.

Musa berusia 19 tahun ketika menubuhkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bersama penuntut Malaysia lain yang dinamakan Tangisan Syria Di Bumi Jordan itu.

Sejak itu, penuntut al-Bayt Universiti Al-Bayt di Mafraq telah melakukan kerja kebajikan ke atas lebih 10,000 pelarian termasuk membina sekolah untuk kanak-kanak pelarian Syria.

MalaysiaGazette pernah mengikut misi kemanusiaan bersama Musa di Jordan pada awal 2014.

pix musa

Berikut adalah luahan Musa di Facebooknya:

“Selepas 6 hari 5 malam berada di dalam penjara Jordan, alhamdulillah sebentar lagi saya akan bertolak ke Malaysia.

“Saya dihalau keluar tatkala pengajian saya hanya berbaki beberapa bulan. Saya redha. Tetapi sedikit terkilan apabila alasan yang diberi adalah hanya kerana ‘membantu pelarian Syria di Jordan’.

“Doakan saya terus kuat. Kerana ujian itu sifatnya menguatkan. Bukan melemahkan.

“Saya pasti akan merindui teman seperjuangan di sana. Juga anak-anak Syria yang sudah saya anggap seperti anak kandung saya sendiri.

“Kelibat Yasir dan rakan-rakan menari mengikut rentak lagu Gummy Bear, tawa Nur dan kawan-kawan di kem sambil meminta saya menolak buaian. Oh tuhan, tabahkan hati hambamu menghadapi perpisahan yang sangat mengejut ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sepanjang saya di dalam penjara. Keluarga, kawan-kawan dan pihak kedutaan Malaysia di Jordan.

“Biarlah gambar saya digari ini menjadi kenangan sampai bila-bila.

“Saya pasti akan bercerita tentang semuanya kelak. Insya Allah.” – MalaysiaGazette