SHAH ALAM – UMNO Selangor mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menganiayai rakyat melalui kempen bebas penggunaan plastik.
Ketua Penerangannya, Datuk Zein Isma Ismail berkata, melalui kempen itu, Azmin membenarkan pemilik pusat beli belah dan pasar raya menjual beg plastik pada harga 20 sen satu kepada orang ramai yang memerlukannya.
Kata beliau, tidak pernah ada mana-mana kerajaan mendapatkan sumber pendapatan dengan menekan rakyat, sebagaimana dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor.
“Mereka ‘mencuri’ duit rakyat dengan menggunakan istilah kempen,” katanya kepada media di pejabat UMNO Selangor di sini hari ini.
Menurut Zein Isma, harga sekeping beg plastik antara 2 sen hingga 3 sen, tetapi dijual kepada rakyat pada kadar 20 sen, iaitu suatu jumlah yang tidak masuk akal.
Beliau turut menyifatkan kerajaan negeri tidak mempunyai pemimpin yang bijak untuk mentadbir negeri dan menjaga kebajikan rakyat.
“Azmin kata kempen. Dia mahu membersihkan bumi Selangor dari pencemaran alam akibat dari bahan plastik.
“Kita setuju dengan kempen itu. Tetapi kalau beg plastik dijual pada harga 20 sen satu, itu bukan lagi kempen, sebaliknya satu perniagaan mudah tanpa perlu menggunakan modal,” katanya. – MalaysiaGazette