KUALA LIPIS – Penyanyi baharu muncul silih berganti namun yang seorang ini tetap melekat di hatinya peminatnya.
Katalah apa sahaja tentang wanita ini, nilai kasih sayang peminat setia buat Datuk Siti Nurhaliza tidak pernah kurang, sebaliknya melimpah ruah.
Siti Nurhaliza sangat bertuah kerana bukan sahaj dikelilingi mereka yang menyayangi dirinya tetapi menjadikannya seorang idola tetapi juga sebagai sumber inspirasi.
Paling mengagumkan apabila peminatnya mampu menyalurkan tenaga luar biasa untuk terus memberi sokongan padu kepada Siti Nurhaliza dalam persada seni suara selama dua dekad ini.
Ada yang berumur 10 tahun ketika kemunculan wanita berusia 38 tahun ini namun kini terus menyokong ketika usia sudah mencecah 30 tahun.
Begitulah hebatnya nilai kasih sayang antara artis dan peminat tegar yang tentunya tidak akan terbit andai cuma beralaskan minat semata-mata.
Bagi mereka, Siti Nurhaliza tidak pernah berlebih-lebihan malah kekal sikap rendah diri dan jati diri seorang anak kampung biar pun sudah punya pangkat, status dan kedudukan tersendiri dalam industri.
Itulah kehebatan Siti Nurhaliza yang meraih cinta banyak jiwa manusia.
Hujung minggu lalu, air mata dan tawa jadi saksi betapa ikatan cinta dia dan peminat melebihi segalanya.
Siti Nurhaliza berjaya membawa peminat setianya yang menggelarkan diri mereka sebagai Sitizoner menyertai program Moh Balik Lepih! sempena ulang tahun ke-13 kelab peminat itu.
Hebatnya, ada di kalangan peminatnya seramai 162 orang itu yang sanggup datang jauh dari Indonesia, Singapura dan Brunei.
Ada juga peminat yang berbangsa Cina dan India yang turut serta program tiga hari dua malam itu.
Diberi peluang bergaul dengan Sitizoner, banyak pengalaman yang diraih untuk mengerti apa itu peranan kelab peminat.
Terjebak untuk membuat persembahan, diberi tugasan di rumah dan sekolah rendah, mencari penyanyi itu di dalam kelas Tingkatan 3, sukan rakyat dan membuat persembahan penutup, penulis perlu akui, Sitizoner bukan calang-calang kelab peminat.
Demi Siti Nurhaliza, mereka tahu apa sahaja dan sanggup buat apa untuk memberikan yang terbaik.
Paling terkesan pada hari terakhir ketika sesi soal jawab bersama Siti Nurhaliza, habis semua soalan ditanya kepada isteri Datuk K itu.
Menariknya, Siti Nurhaliza menjawab semua soalan dengan jujur.
Namun air mata pelantun lagu Cindai itu tumpah akhirnya apabila Sitizoner menyanyikan lagu Inspirasi nyanyian asal Faizal buat dirinya.
Bak kata Siti Nurhaliza, semua orang boleh menjadi inspirasi kepada orang lain termasuk Sitizoner.
Dalam nada sebak dan menahan tangisan, kata wanita tersohor itu, kehidupan di dunia hanyalah sementara dan dia mahu memberi manfaat kepada orang lain.
Pesannya lagi, Sitizoner bukanlah ahli kelab peminat yang bersifat hiburan semata-mata.
“Semaikan kasih-sayang sampai bila-bila, tolong-menolong dan prihatin semasa Sitizoner serta berbuat kepada semua orang,” katanya. – MalaysiaGazette.