KUALA LUMPUR – Kerajaan Arab Saudi mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 orang untuk Musim Haji 1438H/2017M berbanding 22,230 orang sejak 2013.
Perkara ini maklumkan oleh Dr. Mohammad Saleh Bentan, Menteri Haji Dan Umrah, Arab Saudi semasa mesyuarat tahunan urusan haji bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Jeddah, Rabu lalu.
Mesyuarat tahunan di peringkat tertinggi itu bertujuan dapat memastikan operasi musim haji setiap tahun berjalan dengan lancar.
Tabung Haji dalam kenyataannya berkata, Kerajaan Arab Saudi juga memaklumkan projek pembangunan mega di sekitar Masjidil Haram hampir selesai.
Projek pembangunan itu bagi memastikan jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia dapat menunaikan ibadat dengan lebih selesa dan selamat seiring dengan penambahan jumlah jemaah setiap tahun.
“Kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di atas pengembalian semula kuota haji berkenaan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam,” kata kenyataan itu.
Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sentiasa duduk semeja bagi membincangkan soal pengurusan jemaah haji dan penambahbaikan setiap tahun.
Antara perkara yang dibincangkan setiap tahun adalah peruntukan kuota tambahan bagi membantu memendekkan tempoh penggiliran haji.
Dalam ucapannya, Dr. Mohammad Saleh memuji dan mengagumi Tabung Haji alam pengurusan jemaah haji yang sistematik, tersusun serta memberi penekanan kepada pembelajaran mengenai ibadat haji melalui kursus-kursus haji kepada jemaah haji Malaysia.
Beliau juga memuji jemaah haji Malaysia yang sentiasa menumpukan perhatian kepada ibadat haji dan berdisplin tinggi ketika di Tanah Suci.
“Tabung Haji terus diiktiraf sebagai organisasi yang cemerlang dalam menyantuni Dhuyufurrahman dan beliau berharap negara-negara lain turut mencontohi pengurusan haji oleh Tabung Haji.
“Tabung Haji sedang membuat persiapan bagi keperluan bakal jemaah dari segi penerbangan, penginapan, sajian dan pengangkutan serta khidmat perubatan di Tanah Suci untuk Musim Haji 1438H/2017M.
“Tabung Haji juga akan bekerjasama dengan pihak Muassasah Asia Tenggara dan beberapa agensi di
Arab Saudi untuk memastikan keperluan logistik dirancang dengan baik bagi memastikan kebajikan Jemaah Haji Malaysia semasa berada di kota suci Makkah dan Madinah,” katanya.
Kos menunaikan haji Musim Haji 1438H/2017M telah meningkat kepada RM19,950 seorang berbanding RM18,890 tahun lalu.
Walaupun kos meningkat setiap tahun, Tabung Haji masih dapat mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980
seorang jemaah haji muasassah kali pertama sejak tahun 2009.
Subsidi haji yang ditanggung Tabung Haji dijangkakan berjumlah RM200 juta bagi musim haji pada tahun ini. – MalaysiaGazette