KUALA LUMPUR – Nama Datuk Badlisyah Abdul Ghani disebut-sebut sebagai calon tunggal yang bakal menggantikan Datuk Seri Zukri Samat, Pengarah Urusan Bank Islam yang bakal bersara tidak lama lagi.
Zukri, 58, yang telah menerajui Bank Islam selama 11 tahun itu dijangka menamatkan kontraknya pada bulan Jun ini.
Bagaimanapun, beliau akan mula bercuti pada Mac ini.
MalaysiaGazette difahamkan, Lembaga Pengarah Bank Islam akan bermesyuarat awal bulan depan untuk memuktamadkan calon sebelum diserahkan kepada Bank Negara Malaysia untuk mendapat kelulusan.
Nama Pengarah Urusan Bank Islam dijangka diumumkan pada Mac ini, sebelum Zukri meninggalkan pejabatnya.
Sumber-sumber berkata, setakat ini hanya nama Badlisyah yang disebut-sebut sebagai pengganti Zukri.
Badlisyah, 43, juga bukan calon yang calang-calang dalam perbankan Islam negara kerana pernah menyandang Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Berhad dan Ketua Kumpulan CIMB bagi rantau Timur Tengah dan Brunei.
Malah, beliau juga pernah berkhidmat sebagai kakitangan Bank Islam.
Beliau juga adalah Presiden Pengasas Chartered Institute of Islamic Finance Professional (CIIF) serta ahli lembaga Pemegang Amanah untuk Islamic Banking and Finance Institute Malaysia.
Badlisyah yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji pada 1 Julai 2016 bagi ‘memanaskan diri’ sebelum menerajui Bank Islam.
Bank Islam yang ditubuhkan pada tahun 1983 dimiliki sepenuhnya oleh BIMB Holdings Berhad (BIMB Holdings). BIMB Holdings pula dikuasai 55.18 peratus oleh Lembaga Tabung Haji.
Sumber berkata, pemilihan pengganti Zukri perlu tepat dan betul untuk memastikan kestabilan keseluruhan operasi Bank Islam dari aspek pertumbuhan dan pengembangannya.
Difahamkan, faktor itulah yang menyebabkan hasrat Zukri untuk meninggalkan Bank Islam tertangguh sejak beberapa tahun lalu.
Hasrat beliau itu sering ditolak oleh Lembaga Pengarah sehingga mendapat calon paling sesuai.
Lantaran itu, sumber berkata, setakat ini, Badlisyah dipercayai menepati ciri-ciri pengganti Zukri.
Zukri yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Bank Islam pada 9 Jun 2006 diakui prestasinya yang hebat dalam sektor kewangan, justeru itu penggantinya perlu dibuat dengan cukup berhati-hati.
Pernah memegang jawatan pengarah eksekutif pelaburan Khazanah Nasional pada Februari 2006, bertanggungjawab dalam penyusunan semula dan pemantauan serta pengurusan fungsi-fungsi pelbagai syarikat penerima pelaburan.
Beliau juga adalah bekas Pengarah Urusan Danaharta. Sebelum Danaharta, beliau telah berkhidmat di pelbagai institusi perbankan dan kewangan termasuk Credit Agricole Indosuez Labuan, Commerce International Merchant Bankers dan Public Bank. – MalaysiaGazette