Home Dunia Poland, Lithuania enggan jadi tuan rumah penjara rahsia CIA baharu

Poland, Lithuania enggan jadi tuan rumah penjara rahsia CIA baharu

Sekutu Amerika Syarikat (AS), Poland dan Lithuania enggan membenarkan Washington menempatkan penjara rahsia baharu di negara masing-masing jika Presiden AS, Donald Trump mengekalkan program CIA ‘tapak hitam’ (black sites) yang menyoalsiasat malah didakwa mendera suspek pengganas.

Ditanya sama ada Warsaw akan mengkaji semula untuk menjadi tuan rumah kepada kemudahan kontroversi itu, Perdana Menteri Poland, Beata Szydlo berkata, ‘tiada cadangan dan ruang’ untuk perbincangan mengenainya.

“Jawapan saya ialah tidak” katanya.

Menteri Luar Lithuania, Linas Linkevicius berkata, ketika negara-negara Baltik bersedia untuk menjalin kerjasama dengan AS dalam semua isu strategik, hak asasi manusia perlu dipelihara.

“Menurut undang-undang angarabangsa dan kod perilaku, secara perundangan dan moral tidak membenarkan penderaan manusia,” katanya kepada Reuters.

“Saya tidak percaya bahawa sebarang negara bertamadun menerapkan kaedah ini. Ia bukan pandangan peribadi saya, ia adalah pandangan negara saya,” kata Linkevicius.

Poland dan Lithuania tidak pernah mengaku sacara rasmi menjadi tuan rumah kepada kemudahan rahsia CIA itu walaupun ia dikatakan wujud semasa pentadbiran Presiden George W. Bush bagi ‘memerangi keganasan’ selepas insiden 9/11.

Presiden baharu AS dari parti Republican mungkin mengarahkan kajian semula dilakukan untuk mengekalkan program yang terkenal dengan nama buruknya.

“Kami perlu melawan api dengan menggunakan api,” kata Trump semaa temubual dengan ABC News ketika ditanya idea mengenai pengenalan semua kaedah penggunaan ‘waterboarding’ dalam soal siasat terhadap mereka yang ditahan kerana disyaki pengganas.

“Ya, sudah semestinya’ tambah beliau.

Pada 2009, ABC News melaporkan Lithuania menyediakan CIA dengan sebuah bangunan berhampiran ibu negara, Vilnius, untuk menahan dan menyoal siasat lapan suspek anggota Al-Qaeda selama lebih setahun pada 2004.

“Catatan penerbangan yang disaksikan ABC News mengesahkan pesawat CIA melakukan penerbangan berulang kali ke Lithuania semasa tempoh tersebut,” kata laporan itu sambil menambah selepas program berkenaan didedahkan kepada orang ramai, penjara tersebut ditutup pada 2005.

Pada November 2009, jawatankuasa parlimen Lithuania mengenai keselamatan dan pertahanan negara membuat kesimpulan bahawa, terdapat ‘keadaan’ wujudnya penjara rahsia CIA daripada siasatan yang dilakukan, sambil menambah ‘pesawat dengan para pegawai penyiasat yang dikaitkan dengan pengangkutan tahanan CIA melintasi ruang udara Republik Lithuania berulang kali’ pada 2005 dan 2006 selain pesawat CIA tidak diperiksa kastam.

Dokumen rahsia menyatakan Biro Siasatan Kewartawanan turut mendakwa terdapat bukti Lithuania membantu CIA mewujudkan dan mengendalikan ‘tapak hitam’ untuk penahanan suspek anggota Al-Qaeda.

Para pegawai Lithuania yang dipetik dokumen itu menerangkan bagaimana CIA meminta mereka mengatur ‘penginapan atau perlindungan sementara’ untuk ‘pemberi maklumat rahsia’ atau ‘mereka yang bekerjasama secara rahsia’.

Timbalan Menteri Kehakiman Lithuania, Paulius Griciunas memberitahu Mahkamah Eropah berkaitan Hak Asasi Manusia (ECHR) pada tahun lalu bahawa ‘tiada pusat tahanan rahsia CIA beroperasi di Lithuania’ seperti yang dipetik portal, Baltic Course.

Pada Jun 2016, EHCT mengadakan perbiacaraan awam dalam saman yang dilakukan oleh tahanan Teluk Guantanamo warga Palestin kelahiran Arab Saudi, Abu Zubaydah terhadap Lithuania.

Zubaydah yang didakwa terlibat dalam insiden 9/11 berkata, beliau telah ‘ditahan dan dilayan dengan buruk’ dalam penjara rahsia CIA di Lithuania di mana ‘kaedah siasatan haram membabitkan penderaan digunakan’.

EHCR memutuskan CIA mengendalikan penjara rahsia di selatan Poland dengan nama kod ‘Quartz’ yang mana merupakan mahkamah Eropah pertama secara rasmi mengesahkan operasi ‘tapak hitam’ CIA di benua itu untuk kes yang difailkan oleh Zubaydah dan warga Arab Saudi, Abd. al-Rahim al-Nashiri pada 2014. – MalaysiaGazette