Home Nasional Bot bawa 28 pelancong China yang hilang belum ditemukan

Bot bawa 28 pelancong China yang hilang belum ditemukan

Pulau Mengalum - Gambar hiasan
KOTA KINABALU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) belum menemukan sebuah bot yang membawa 28 pelancong China, seorang tekong dan dua kru yang dipercayai hilang petang semalam.

Bot itu dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju Pulau Mengalum yang terletak 56 kilometer dari barat laut Kota Kinabalu.

Timbalan Pengarah Operasi Wilayah Sabah dan Labuan, Kapten Maritim Abdul Rahim Ramli berkata operasi SAR melibatkan aset bot dan kapal milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) sedang digerakkan.

“Aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu pesawat C130 turut membantu dalam operasi SAR,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bot catamaran tersebut bertolak dari Jeti Tanjung Aru pada jam 9 pagi semalam.

Berikut laporan kehilangan itu, operasi SAR telah diaktifkan pada jam 10.15 malam tadi yang dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub Coordinator (MRSC) Kota Kinabalu, meliputi kawasan pencarian 400 batu nautika persegi.

Keadaan laut di lokasi kejadian adalah bergelora beserta angin kencang.

— BERNAMA