KIRA-KIRA pukul 9 pagi semalam, penulis sempat singgah di warung Nasi Lemak Kangkung Makcik Mariam di Kampung Pandan.
Pada kebiasaannya pada waktu itu lauk-pauk yang ada tinggal sedikit sahaja tetapi berbeza semalam.Sambal sotong, paru sambal, rendang kerang dan ayam goreng masih banyak.
Ketika menunggu giliran pesanan nasi lemak dibungkus, penulis disapa mesra oleh Makcik Mariam. Meskipun usianya sudah 75 tahun, kudratnya masih kuat.
Beliau menjual nasi lemak bukan semata-mata untuk menyara hidup, sebaliknya menghabiskan masa lapang, selain minat berniaga sejak muda.
Dia bertanya penulis dari mana sebelum singgah ke warungnya dan saya memaklumkan baru sahaja membeli ikan dan sayur di sebuah pasar raya di Taman Dagang, Ampang.
Mendengar nama pasar raya itu, becok mulut makcik Mariam menceritakan kepada penulis betapa kelam-kabutnya pasar raya itu baru-baru ini apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) datang membuat pemeriksaan mengejut.
Katanya, ketika kedatangan penguatkuasa KPDNKK, beliau berada di bahagian bawah pasar raya, sedang membeli ayam dan kerang buat jualannya.
“Ya Allah, kau tahu kelam-kabut pekerja-pekerja pasar raya itu menukar harga ikan dan ayam. Mereka mendapat arahan ketika KPDNKK berada di atas, sedang memeriksa harga barang-barang lain.
“Jahat betul peniaga ni. Memang selama ini dia orang yang main harga. Cuma nasib makcik baik, masa itulah dapat harga ayam dan kerang murah. Kalau tidak harga kerang pun hampir RM23 sekilogram. Harga udang RM39.90 sekilogram, hampir RM40.
“Kita yang berniaga ni macam hendak pitam tengok sebab macam mana hendak jual pada pelanggan. Kita jual harga tetap, tetapi harga barang turun naik. Sekarang pun pelanggan takut hendak beli lauk,” katanya makcik Mariam dengan becoknya, sekali gus menjawab mengapa lauk-pauknya masih banyak belum terjual.
Rungutan kenaikan harga barang makanan bukan mitos, bukan juga cerita rekaan. Sebaliknya inilah realiti hidup rakyat Malaysia pada masa ini.
Harga siput lala RM9 sekilogram di sebuah pasar raya di Ampang.
Penulis cuba untuk mengamalkan cara pembelian berhemah yang diusulkan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar ketika
beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Abdul Wahid berkata: “Kalau tengok harga ayam mahal, jangan beli. Lihatlah pada harga ikan atau daging”.
Sejak harga barang naik secara ketara pada tahun 2016, jujurnya penulis tidak mampu mempraktikkan cadangan Abdul Wahid. Ini kerana bukan sahaja harga ayam mahal tetapi ikan-ikan pilihan golongan marhean juga tidak murah.
Jangan sebut hendak makan ikan jenahak, ikan merah, udang kertas atau ikan kerapu – yang selayaknya hanya menu golongan mewah sahaja.
Ikan cencaru pun sekarang dijual sekitar RM10 hingga RM12 sekilogram, ikan kembung mencecah RM16 sekilogram, harga ikan selar juga tidak lari antara RM10 hingga RM12 sekilogram.
Kalau hendak masak sambal udang petai pun kena fikir dua, tiga kali, kata Makcik Mariam sebab sekilogram udang berharga RM40, dapat beberapa ekor saja. Ketika timbang memang berat sebab udang beku.
“Petai pulak sepaket kecik pun dijual RM8.90. Kalau anak, cucu datang baik tak payah masak lauk tu. Buat rasa celah gigi sahaja,” rungutnya.
Bukan makanan mentah ini sahaja yang mahal, sayur-sayuran juga tidak murah. Apatah lagi kebanyakan pasar raya memilih untuk membungkus sayur-sayuran dan kemudian diletakkan harga.
Walaupun dijual pada harga RM1.79 setiap pek – memang nampak murah tetapi kalau dikira, adalah dua atau tidak pokok sayur yang daunnya juga boleh dibilang jari.
Di pasar tani pun boleh tahan mahalnya. Kalau tidak percaya bawalah RM100 dan pergilah membeli-belah di Pasar Tani di tapak pasar malam AU2 setiap pagi Sabtu.
Jangan kata hendak beli, pengguna hanya boleh ‘jeling’ sahaja ikan-ikan yang dijual. Kononnya harga yang dipamerkan adalah harga ikan segar, sedangkan bila balik rumah tidak ada bezanya dengan ikan sejuk beku.
Apabila perbandingan harga dibuat setiap minggu, penulis setuju dengan pandangan pejuang pengguna, Prof. Datuk Dr. Hamdan Adnan.
Katanya, kenaikan harga bahan mentah memang tidak dinafikan dan ia berlaku di seluruh dunia namun kenaikan melampau berdasarkan trend situasi adalah penipuan terang-terangan oleh komuniti peniaga Malaysia.
Hamdan berkata, semasa harga minyak melambung, wajarlah berlaku kenaikan tetapi semasa harga minyak turun, harga barang tidak jatuh pun.
Beliau turut mempersoalkan mengapa harga barang-barang naik menjelang perayaan tetapi semasa hari lain, ada pula barang yang boleh dijual lebih murah.
Hamdan berkata, turun atau naik harga sesuatu barang adalah ‘permainan peniaga’ disebabkan kegagalan penguatkuasaan dan kelemahan rakyat Malaysia mengetahui hak mereka sebagai pengguna.
“Kalau pengguna tahu ‘bermain dengan boikot’, sudah pasti peniaga tidak berani mempermainkan poket rakyat Malaysia. Tapi apa hendak buat, sudahlah pengguna tidak bijak memainkan peranan, KPDNKK pula tidak cekap dalam memainkan peranan dan tanggungjawab mereka,” ujarnya.
Kenyataan Hamdan itu logik. Jika semua agensi kerajaan rajin turun padang, menjalankan pemeriksaan lebih kerap, memastikan bayangan mereka dirasai peniaga – sudah pasti keresahan pengguna terhadap kenaikan harga barang tidak sampai ke peringkat sekarang.
Dengan kos hidup yang semakin meninggi, harga makanan asas mahal, rakyat sebenarnya tidak mampu untuk hidup selesa terutama golongan berpendapatan rendah.
Penulis pernah bertanyakan soalan mengenai penguatkuasaan kepada seorang pegawai KPDNKK Terengganu dalam pertemuan majlis anjuran MARA di Kuala Terengganu tahun lepas.
Mengambil contoh di Kuala Terengganu, pegawai itu mengakui KPDNKK di sana bukan kekurangan kakitangan untuk melakukan pemeriksaan tetapi kakitangan ‘kekurangan’ arahan untuk berbuat demikian.
Menurut Pengerusi Persatuan Pengguna Selangor, Datuk Dr. Jacob George, kebanyakan golongan berpendapatan menghabiskan seharian membanting tulang. Tidak cukup satu kerja, buat tiga kerja sekali gus.
“Bukan bapa sahaja yang terpaksa bekerja, anak-anak mereka yang bersekolah menengah juga terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan. Jadi mana kualiti dan kesejahteraan hidup sebagai rakyat Malaysia?
“Kita tidak bincang mengenai negara berpendapatan tinggi atau negara maju. Tetapi bagaimana kerajaan mahu mengubah hidup golongan B40 jika anak-anak mereka ini tidak dapat menumpukan pembelajaran kerana terpaksa bekerja selepas waktu sekolah?,” katanya kepada penulis.
Bagi penulis, isu kenaikan kos adalah kritikal ditangani oleh kerajaan khususnya agensi-agensi penguatkuasaan yang dipertanggungjawab.
Sama ada kerajaan atau pemimpin sedar atau tidak, sikap sambil lewa ketua-ketua kementerian atau agensi menangani masalah ini telah meningkatkan kemarahan rakyat kepada kerajaan. Inilah realiti yang berlaku sekarang. – MalaysiaGazette