KUALA LUMPUR – Hindu Sangam Malaysia (MHS) dan pasukan bertindak khas yang melibatkan lebih 1,000 pemuda akan ditempatkan di beberapa lokasi sambutan Thaipusam dari 8 hingga 10 Februari ini.
Presidennya, Datuk R.S. Mohan Shan berkata, mereka akan ditempatkan di Sungai Petani, Pulau Pinang, Ipoh dan Batu Caves.
Mohan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri-negeri terbabit.
“Pasukan Bertindak Khas kami berjaya membawa perubahan secara berperingkat yang mana 80 peratus penganut agama Hindu dan masyarakat India menyambut Thaipusam secara sopan dan mengikut tata susila agama yang ditetapkan sejak garis panduan dilaksanakan tiga tahun lalu.
“Garis panduan dan syarat yang dinasihatkan kepada penganut antara lain berpakaian tradisional, larangan membawa ‘kavadi’ durian, ganas dan menindik lidah dengan lembing atau trisula panjang, simbol politik, bola sepak dan sebagainya, cadangan pakaian yang sesuai serta melarang jualan arak.
“Kami akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan garis panduan, manakala PBT dan polis juga bekerjasama dengan MHS memantau dan merampas sebarang jualan barang tidak berkaitan dengan sambutan Thaipusam.
“Ia termasuklah minuman alkohol, alat permainan, topeng muka, vuvuzela (alat bunyi yang popular sejak bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan) dilarang seperti yang dilaksanakan secara agresif pada tahun-tahun lepas,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Mohan Shan mengakui masih terdapat penganut agama Hindu yang masih tidak mengendahkan nasihat itu, tetapi percaya keadaan itu berubah kali ini dengan usaha yang dilakukan MHS.
Justeru katanya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dan PBT di Selangor turut menjalin kerjasama untuk memantau kelancaran sambutan Thaipusam.
“Sukarelawan dan anggota pasukan bertindak khas MHS akan sentiasa bersiap sedia menyediakan penganut agama Hindu dan pelancong maklumat terperinci dan bantuan yang diperlukan pada hari Thaipusam nanti.
“Seperti-tahun-tahun lepas, sambutan kali ini juga diharap berjalan dengan penuh sopan dan bersesuaian dengan keagamaan tanpa sebarang masalah atau insiden tidak diingini,” katanya.- MalaysiaGazette