KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menahan tujuh orang suspek lelaki disyaki terlibat dalam kes pergaduhan yang menyebabkan kematian akibat ditikam di sebuah pusat hiburan di Mont Kiara, di sini awal pagi kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa mengesahkan penahanan suspek itu.
“Setakat ini jumlah suspek yang ditangkap tujuh orang berusia dalam lingkungan antara 21 dan 22 tahun,” katanya menerusi pesanan ringkas WhatsApp petang tadi.
Dalam perkembangan sama, tambah beliau, empat daripada suspek direman sehingga 3 Februari ini manakala tiga lagi suspek direman hingga 2 Februari untuk membantu siasatan polis.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Jeffri Abu Bakar, 22 bersama tiga rakannya berkunjung ke pusat hiburan itu kira-kira pada pukul 2 pagi sebelum berlaku perselisihan faham dengan sekumpulan lelaki.
“Mangsa dan rakannya diserang 20 lelaki dan terkena tikaman di dada kanan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur selepas kejadian pukul 4 pagi sebelum disahkan meinggal dunia pada jam 9 pagi hari yang sama,” katanya.
Rakan si mati yang cedera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) namun dia melarikan diri tanpa menerima rawatan.- MalaysiaGazette