KUALA LUMPUR – Seorang lelaki hilang apabila bot yang mereka naiki karam di perairan Pulau Dinawan Kinarut, Sabah pada pukul 6 petang semalam.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, mangsa yang dikenali sebagai Nonoi, 39, bersama dua rakannya menaiki bot itu untuk memancing sebelum karam kerana dipukul ombak.
“Menurut dua orang rakan mangsa yang terselamat dengan berenang ke tepi pantai memaklumkan yang mangsa tidak pandai berenang dan tidak memakai jaket keselamatan semasa dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, APMM menerima maklumat mengenai insiden tersebut daripada Pusat Operasi Daerah Maritim Kota Kinabalu pada pukul 9.20 malam semalam dan usaha mencari dan menyelamat telah dilakukan oleh bomba dan APPM namun mangsa masih belum dijumpai.
Sementara itu, Timbalan Pengarah APMM (Operasi Wilayah Maritim Sabah dan Labuah) Kapten (M) Rahim Ramli berkata, misi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan dan bot peronda, KILAT 36, diarahkan ke lokasi pengadu.
Bagaimanapun, menurut beliau, KILAT 36 tidak dapat ke lokasi kejadian kerana cuaca buruk ketika itu. – MalaysiaGazette