RIO de JANEIRO – Individu paling kaya di Brazil, Eike Batista yang ditahan sebaik sahaja tiba dari New York, kini dimasukkan dalam penjara dengan tahap keselamatan tinggi di Rio de Janerio.
Taikun minyak dan perlombongan itu dituduh melakukan rasuah berjuta-juta dolar untuk memenangi kontrak dengan kerajaan Brazil namun dinafikan oleh Batista.
Batista, sebaliknya berjanji untuk membantu Brazil menangani gejala rasuah yang berleluasa di negara itu.
Sebelum berlepas dan menyerah diri kepada polis, Batista berkata, kepulangannya ke Brazil untuk membersihkan namanya.
Di bawah undang-undang Brazil, Batista boleh dimasukkan ke penjara khas jika memiliki ijazah universiti tetapi memandangkan beliau tidak menghabiskan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan di Jerman, dia akan berada di dalam sel penjara bersama enam orang banduan lain.
Kepulangan Batista disambut oleh polis dan kemudian diringi ke penjara Ary Franco.
Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan dan rambutnya digunting, Batista dipindahkan ke penjara yang mempunyai keselamatan tinggi. – MalaysiaGazette