Home Ekonomi Malindo Air dapat sijil dari IATA

Malindo Air dapat sijil dari IATA

KUALA LUMPUR- Malindo Air menerima pensijilan Audit Keselamatan Operasi (IOSA) daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Dengan penerimaan sijil tersebut, syarikat penerbangan hibrid berkenaan layak untuk mendapat akreditasi standard audit keselamatan badan dunia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata, pensijilan berkenaan bakal menaikkan lagi nama Malindo Air serta membolehkannya dipasarkan bersama-sama dengan adanya standard keselamatan yang tinggi.

Jelasnya, ia juga menjadi bukti bahawa Malindo Air amat mengutamakan keselamatan.

“Ini memberi penekanan lebih kepada meningkatkan pengurusan keselamatan, dan menjajarkan kami dengan amalan terbaik global, menggalakkan pengalaman perjalanan yang mudah dan selamat untuk pelanggan.

“Ia amat penting kerana dapat membantu memastikan kelestarian dan pembangunan berterusan mengikut piawaian IATA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, pengiktirafan ini menjadikan syarikat penerbangan itu setanding dengan industri penerbangan antarabangsa yang lain.- MalaysiaGazette