KUALA LUMPUR – Minyak dunia stabil kenapa Malaysia pula naik 20 sen?
Kenaikan itu hanya mendorong kenaikan harga barangan dan servis selepas ini walaupun harga bahan bakar kembali turun.
Itu teguran Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sambil mendakwa sebagai kerajaan, kepimpinan yang ada perlu memahami bahawa setiap keputusan yang dilakukannya akan membawa impak.
“Nilai ringgit yang lemah telah menyebabkan kos harga barangan naik mendadak. Semua yang bekerja mengharapkan kenaikan gaji dan bonus untuk menampung kos tambahan ini.
“Para peniaga kecil-kecilan, sederhana mahu pun pengusaha sendiri juga mengharapkan penambahan pendapatan untuk menampung kos yang meningkat.
“Kini, kos yang meningkat itu bukan sahaja disebabkan nilai ringgit yang rendah malah disebabkan harga petrol domestik yang tinggi yang bakal meningkatkan kos pengangkutan.
“Tidak hairan kalau kumpulan peniaga ini terpaksa mengambil keputusan untuk menaikkan harga jualan mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respon kenaikan harga minyak mulai hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, ramai yang mahu harga barangan perlu menurun sejajar dengan trend kejatuhan harga minyak tetapi realitinya, ia tidak akan berlaku.
“Siapa yang sudi pendapatannya dipotong? Lihatlah pada tambang bas, bas sekolah, pengusaha pengangkutan swasta mahupun pengangkutan awam, penjual makanan dan barangan – ada siapa yang berdiri keluar untuk menyatakan mereka akan menurunkan harga servis dan produk mereka sejajar dengan penurunan harga minyak?
“Impak daripada keputusan kerajaan menaikkan harga minyak hari ini sebanyak 20 sen hari ini tidak dapat dikurangkan dengan penurunan harga minyak di bulan-bulan akan datang,” tegasnya lagi.
Menurutnya, apabila harga barangan dan servis meningkat, agak mustahil untuk diturunkan semula walau apa sebabpun kerana ia berkait rapat dengan gaji dan pendapatan orang-orang tertentu.
Oleh itu, sejak awal-awal lagi, ramai yang menyuruh kerajaan untuk tidak menaikkan harga minyak sewenang-wenangnya kerana ia membuka peluang kepada kenaikan harga barangan dan servis secara keseluruhannya yang tidak dapat dinyahkan apabila harga minyak kembali turun, katanya.-MalaysiaGazette