KUALA LUMPUR – Sasaran Pas untuk memenangi 40 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang adalah tidak realistik.
Penganalisis politik, Tan Ah Chai berkata, Pas kehilangan kelebihan selepas hubungannya dengan parti pembangkang lain terputus.
Katanya, sasaran 40 kerusi Parlimen yang ditetapkan Pas justeru adalah terlalu tinggi untuk dicapai.
Menurutnya, kebangkitan Pas adalah pada era Pakatan Rakyat dan keretakan kerjasama pembangkang juga bermakna Pas perlu menumpukan perhatian kepada Terengganu dan Kelantan yang merupakan markas parti itu.
“Pas menumpang tsunami pembangkang untuk merampas Kedah tetapi mereka kehilangan negeri ini disebabkan pentadbiran yang tidak betul dan hubungan yang tidak baik dengan masyarakat Cina,” katanya kepada China Press.
Ah Chai bagaimanapun berpendapat bahawa Pas mampu mencapai kemenangan di Selangor dengan memainkan peranan sebagai kingmaker.
“Ia bergantung kepada parti yang akan disokong Pas pada pilihan raya akan datang. Jika mereka berpihak kepada UMNO, maka ia akan menguntungkan pembangkang (di Selangor),” katanya.
Kegagalan mencapai persefahaman dengan parti pembangkang lain juga akan mewujudkan perang tiga segi yang menyukarkan usaha Pas untuk menawan Kedah dan Selangor.
“Ketiadaan persefahaman Pas dengan parti pembangkang lain hanya akan menyukarkan usaha parti ini di kawasan Cina.
“Perang tiga segi pula akan memudaratkan keadaan dan memberi peluang kepada BN,” kata Ah Chai.
Kolumnis akhbar Cina, Datuk Cheah See Kian juga bersetuju bahawa pengaruh Pas terhad kepada Kelantan dan Terengganu.
“Pas gagal mendapat sokongan di negeri lain, Pas telah memilih jalan yang salah,” katanya. – MalaysiaGazette