Selain itu, sektor pembinaan juga terdedah kepada risiko pemberhentian kerja selepas mengambil kira kelembapan dalam pasaran hartanah.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pekerja sektor kewangan berdepan risiko paling besar kerana operasi industri perkhidmatan tersebut telah ditukar kepada cara digital sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja.
Katanya, arus pemberhentian kerja sektor kewangan telah dikesan sejak tahun lalu dan dijangkakan sebanyak 18,000 pekerja bank termasuk pegawai atasan berdepan risiko kehilangan kerja.
“Selain itu, sektor insurans turut melangkah masuk ke era teknologi dan syarikat insurans yang berdepan cabaran sedang berusaha untuk menjimatkan kos termasuk kos buruh.
“Syarikat insurans menggunakan pelbagai saluran teknologi termasuk Internet untuk memperkenalkan pakej mereka,” katanya kepada China Press.
Beliau berkata, syarikat insurans antaranya menggalakkan pengguna melanggan insurans melalui Internet dengan menawarkan rebat sehingga 10 peratus.
“Keadaan ini bermakna pembelian, pembayaran dan pembaharuan insurans boleh dilakukan melalui Internet,” katanya.
Shamsuddin berkata, sektor pembinaan turut melangkah ke tempoh kelembapan apabila jualan rumah mencatatkan penurunan.
“Masa depan sektor pembinaan adalah tidak memberangsangkan dan masalah jualan akan berterusan pada tahun ini,” katanya sambil menjangkakan keadaan ekonomi tidak akan bertambah baik dalam jangka pendek.
Menurutnya, keadaan itu bermakna pekerja binaan tempatan termasuk mereka yang bekerja dengan kontraktor mungkin kehilangan kerja.
Presiden Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), Datuk Michael Kang bagaimanapun tidak bimbang dengan arus pemberhentian kerja kerana PKS berdepan masalah kekurangan pekerja pada masa ini.
Michael bagaimanapun bersetuju bahawa PKS berdepan pelbagai cabaran yang mendedahkan mereka kepada kemungkinan gulung tikar yang akan mengurangkan peluang pekerjaan dalam pasaran. – MalaysiaGazette