Home Politik Jamilah arif tentang keperluan penduduk Tanjong Datu – Penduduk

Jamilah arif tentang keperluan penduduk Tanjong Datu – Penduduk

Calon BN PRK DUN Tanjung Datu, Puan Sri Jamilah Anu.

LUNDU – Jika Ketua Menteri Kelima Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dikenali sebagai pemimpin yang tidak terlalu mengikut protokol, balunya Puan Sri Jamilah Anu tidak kurang hebat.

Selain arif tentang keperluan pendudukan kerana sering bersama-sama Adenan turun padang melawat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Jamilah dekat di hati penduduk kerana tidak kekok bercampur-gaul malahan boleh duduk semeja dengan penduduk setempat.

Berkongsi pengalaman itu bersama penulis, Pemanca Sematan Bujang Zally Man, 74, berkata sehubungan itu pemilihan Jamilah sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Tanjong Datu dilihat tepat untuk mempertahankan kerusi itu.

Sebagai rakan karib yang sering berburu pelanduk, menjala atau mengail ikan bersama-sama Adenan, beliau mempunyai banyak kenangan bersama-sama pasangan itu dan yang paling diingatinya ialah ketika mereka menikmati juadah di sebuah gerai di Pasar Sematan.

“Kami bertiga bersama beberapa orang penduduk setempat menikmati juadah dan minum di sebuah gerai di kaki lima Pasar Sematan, Puan Sri sedikit pun tidak kekok, tidak besar diri untuk duduk semeja bersama,” katanya.

Bujang Zally berkata Jamilah merupakan seorang isteri yang sentiasa menyokong apa juga aktiviti Adenan atau lebih mesra dengan panggilan Tok Nan termasuk dalam soal berburu dan mengail ikan.

“Dari situ boleh dilihat beliau seorang yang ‘simple’, saya juga percaya beliau sudah arif dengan keperluan penduduk di Tanjong Datu hasil pengalaman turun padang bersama-sama Allahyarham sebelum ini,” katanya.

Bagi Bass Kadam, 47, pemergian Adenan, seorang pemimpin yang sedang giat membawa pembangunan ke Lundu dan Sematan amat dirasai.

Pesara tentera itu berkata namun begitu pemilihan Jamilah sebagai calon untuk mempertahankan kerusi DUN Tanjong Datu amat bertepatan memandangkan pengalaman diperolehi hasil turun padang bersama-sama Adenan sebelum ini.

“Penganti Tok Nan diharap dapat teruskan buat apa yang telah dibawa serta dibuat di Lundu dan Sematan setakat ini. Legasi beliau seperti (projek) Lebuh Raya Pan Borneo, khususnya laluan dari Telok Melano ke Sematan akan merubah landskap kawasan ini.

“Manakala Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Kampus Lundu bakal memberi manfaat kepada golongan belia kawasan ini,” katanya.

Penghulu Zon Stunggang Melayu Daerah Lundu, Ibrahim Suni, 68, berkata pengganti Adenan perlu berpandangan jauh, berfikiran terbuka serta mampu bekerjasama dengan penduduk setempat bagi merealisasikan hasrat serta harapan yang telah dirancang ketua menteri kelima Sarawak itu.

“Saya berharap pengganti Tok Nan dapat membawa pembangunan sepertimana dirancang sebelum ini, jadi penganti itu perlu sefahaman. Saya yakin ciri-ciri itu ada pada balu beliau,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Feb bagi penamaan calon bagi PRK DUN Tanjong Datu manakala pengundian pada 18 Feb.

PRK itu diadakan berikutan kematian Adenan yang merupakan penyandang kerusi itu pada 11 Jan lepas akibat komplikasi jantung.

Pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 Mei tahun lepas, Adenan, 72, mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi.

— BERNAMA