PONTIANAK – Polis Kalimantan Barat mencatatkan peningkatan kes dadah di kawasan sempadan antara Indonesia dan Malaysia, daripada 375 kes pada 2015 kepada 531 kes pada tahun lalu.
Jumlah dadah yang dirampas, khususnya crystal methamphetamine atau syabu, turut meningkat daripada 6.3 kilogram (kg) pada 2015 kepada 97.6 kg pada tahun berikutnya, lapor The Jakarta Post.
Pegawai Polis Kalimantan Barat, Adj. Comr. Cucu Safiyudin berkata, bilangan kes meningkat berikutan peningkatan usaha polis memburu pengedar dadah.
Akses jalan raya yang lebih baik antara kedua-dua juga menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan itu, katanya.
“Ia adalah arahan ketua polis Indonesia Barat, Inspektor Jeneral Musyafak,” katanya yang merujuk kepada peningkatan usaha polis memburu pengedar dadah.
Polis Kalimantan Tengah mendedahkan mereka telah menahan 24 suspek membabitkan 15 kes dalam operasi dadah yang dilakukan dengan kerjasama polis Kalimantan Selatan antara 12 hingga 29 Januari lalu.
Semalam, Pengarah Polis Kalimantan Tengah (Anti-Dadah), Kosisioner Kanan Ignatius Agung Prasetyoko berkata, kebanyakan dadah diedarkan di darat.
“Laluannya melalui tiga wilayah dan mereka menggunakan kereta,” kata Ignatius.
Dalam tempoh operasi selama dua minggu itu, polis telah merampas 164.47 gram syabu dan wang berjumlah Rp6 juta serta 27 telefon bimbit. – MalaysiaGazette