KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mendapat lanjutan hak operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan-lapangan terbang lain selama 35 tahun lagi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata, ia menerima surat lanjutan itu pada 27 Januari lalu daripada Kementerian Pengangkutan pada surat bertarikh 28 Disember 2016.
Kelulusan Kabinet itu diputuskan pada 21 Disember tahun lalu dan ia tertakluk kepada terma dan peruntukan.
Menurutnya, MAHB telah menandatangani dua perjanjian operasi dengan kerajaan bagi operasi KLIA dan lapangan-lapangan terbang lain pada 12 Februari 2009.
Tambahnya, jawatankuasa rundingan yang akan dipengerusikan Kementerian Pengangkutan akan dibentuk untuk berunding terma-terma dan peruntukan baru.
Jawatankuasa itu melibatkan wakil-wakil dari MAHB, Kementerian Kewangan dan agensi kerajaan yang berkaitan.
MAHB berkata, terma-terma dan peruntukan baru akan dikemukakan kepada Kabinet bagi pertimbangan dan kelulusan. – MalaysiaGazette