Home Nasional Negara ramai profesional, tidak perlu ahli politik terajui korporat

Negara ramai profesional, tidak perlu ahli politik terajui korporat

Ramon Navaratnam

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya melatih pelbagai profesional sejak lebih 30 tahun lalu, lantaran itu tidak ada keperluan melantik ahli-ahli politik untuk menerajui pengurusan korporat.

Bekas Presiden Transperancy International Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam berpendapat, pengurusan korporat dan politik perlu diasingkan bagi memastikan amalan tadbir urus korporat dapat dipraktikkan dengan betul dan sempurna di negara ini.

Lebih penting lagi, langkah itu dapat mengelakkan penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa untuk tujuan pengaruh politik terutama membabitkan syarikat-syarikat milik kerajaan.

“Kalau dahulu mungkin tidak mengapa kerana jumlah profesional tidak ramai dan ahli-ahli politik tahu sempadan mereka – tetapi pada hari ini negara kita sudah mempunyai ramai profesional, dalam berbagai-bagai bidang.

“Jadi mengapa perlu ada pelantikan orang politik dalam organisasi korporat kerana majoritinya tidak profesional dalam pengurusan organisasi.

“Biar golongan profesional mengurus organisasi dan ahli-ahli politik terus berpolitiking. Politik dan korporat tidak perlu dicampur aduk dan pelantikan ahli politik dalam korporat tidak boleh dibudayakan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang bimbang dengan senario penyalahgunaan kuasa oleh ahli-ahli politik dalam organisasi korporat tempatan menyifatkan pelbagai kes salah laku yang kerap dilaporkan media sejak kebelakangan ini adalah situasi yang tidak sihat.

Kes-kes yang berlaku mencetuskan pelbagai tanggapan tidak baik oleh rakyat daripada pelbagai lapisan dan membimbangkan komuniti perniagaan.

“Sudah tentu ini tidak baik untuk Malaysia dalam jangka panjang. Sehubungan itu, pembuat dasar negara perlu melihat isu dengan serius,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Navaratnam juga berpendapat sudah sampai masanya pembuat dasar menggubal satu undang-undang khusus yang menyekat penyalahgunaan kuasa dan gejala rasuah dalam kalangan profesional dan ahli politik bagi membendung gejala itu berleluasa di Malaysia.

Katanya, laporan penahanan dan penangkapan pelbagai individu berkepentingan atas pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah ini membuktikan amalan ini semakin ‘membesar’ di Malaysia.

“Salah guna kuasa atau rasuah bukan seperti jenayah lain membunuh, merompak yang hanya melibatkan satu pihak. Tetapi kesalahan salah guna kuasa dan rasuah memberi kesan lebih besar terutama kepada rakyat dan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette