GOMBAK – Polis akan menahan individu yang mengugut atau menyembur cat ke wanita kerana menganggap mereka berpakaian kurang sopan semasa sambutan Thaipusam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad yang memberi peringatan itu berkata, beliau menerima maklumat itu daripada media sosial.
“Polis berjaya mengesan dan menahan individu yang menyebarkan ugutan itu dan telah didakwa di mahkamah.
“Kami sedar, ia tidak akan terhenti dengan tertuduh sahaja.
“Sekiranya mana-mana pengunjung yang didapati menyembur cat ke atas wanita, mereka akan dicekup dan dimasukkan dalam lokap,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya lebih 2,000 pegawai polis akan bertugas sepanjang sambutan Thaipusam bagi mengawal keselamatan pengunjung.
Sementara itu, Ali meminta penganut agama Hindu supaya memberi kerjasama dengan pihak polis dan mematuhi undang-undang bagi memastikan sambutan tersebut berjalan lancar.
“Polis akan bertindak juga ke atas individu yang membawa barang terlarang ke dalam kawasan kuil dan sambutan Thaipusam kali ini.
“Selain itu, kaum wanita dan kanak-kanak dinasihatkan supaya tidak memakai barangan kemas dan barang berharga semasa sambutan sebagai mengelak kejadian jenayah,” katanya. – MalaysiaGazette