SHAH ALAM- Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar kesal kerajaan negeri tidak membantu menaik taraf Pasar Seksyen 16 Shah Alam.
Akibatnya, pasar tertua di ibu negeri Selangor itu tidak diselenggara dengan baik sehingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada peniaga dan orang ramai.
“Saya dimaklumkan mereka (para peniaga) terpaksa kumpul dana sendiri untuk kerja-kerja penyelenggaraan..bila saya jumpa mereka ada yang sudah 30 tahun berniaga.
“Saya juga difahamkan, masalah longkang boleh mengakibatkan banjir walaupun tanpa hujan,” ujarnya dalam satu kenyataan selepas melawat pasar berkenaan di sini hari ini.
Noh yang juga Pengerusi Barisan Nasional Selangor berkata, dalam memastikan kemudahan asas di pasar berkenaan pihaknya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menambahbaik surau, tandas, longkang dan parkir kenderaan.
Sambil menafikan peruntukan itu sebagai publisiti murahan, Noh juga memaklumkan kementeriannya sedang berusaha mengeluarkan Garis Panduan Pasar Sejahtera untuk seluruh negara.
Garis panduan itu, katanya, dijadikan panduan pihak berkuasa tempatan dan kementerian membantu, merancang dan mengurus pasar awam seluruh negara.
“Garis panduan ini adalah bertujuan menambahbaik pasar sedia ada dan mewujudkan pasar baharu yang berkonsep sejahtera dengan persekitaran yang selamat dan bebas daripada sebarang risiko persekitaran.
“Antara elemen lain di dalam Garis Panduan Pasar Sejahtera adalah bangunan dan reka bentuk, pengezonan, fasiliti, sanitasi, keselamatan dan peranan dan tingkah laku peniaga-peniaga di pasar,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette