CHENNAI – Sekumpulan doktor di sini berhadapan dengan cabaran besar apabila terpaksa melakukan pembedahan ke atas seorang pesakit bagi membuang seekor lipas hidup dalam tengkorak.
Wanita tersebut mengadu ada serangga merayap ke dalam lubang hidung hingga ke dalam kepalanya.
Beliau cuba menghembus keluar lipas itu tetapi tidak berjaya.
Hasil pembedahan endoskopi yang dilakukan mendapati lipas berkenaan berada di atas tengkorak antara matanya selama 12 jam.
“Ini adalah kes pertama saya sejak menjadi doktor tiga dekad lalu,” kata Dr. Shankar yang bertugas di Hospital Kolej Perubatan Stanley.
Wanita itu memberitahu, sebelum dia berjumpa doktor, beliau mengalami kesakitan yang sukar diluahkan.
“Saya tidak dapat menjelaskan perasaan tetapi saya pasti ia seperti ada serangga. Ia seperti merangkak, bergerak menyebabkan saya rasa sangat kurang selesa.
“Saya menghabiskan sepanjang malam dalam ketidakselesaan, duduk dan menunggu subuh untuk pergi ke hospital,” katanya.
Media tempatan lain melaporkan, serangga itu berpaut pada tisu tengkorak menyebabkan ia tidak keluar walaupun disedut.
“Ia masih hidup. Dan ia tidak seolah-olah mahu keluar. Jadi kami menggunakan sedutan dan forcep untuk mengeluarkannya, “kata Shankar.
Shankar berkata, lipas itu berjaya dikeluarkan dalam tempoh 45 minit selepas pembedahan dilakukan dan ia masih hidup. – MalaysiaGazette