Home Sukan Hazwan berdebar jumpa Gamba Osaka

Hazwan berdebar jumpa Gamba Osaka

KUALA LUMPUR – Penyerang baharu Johor Darul Takzim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri sedia memberikan aksi terbaik buat kelabnya sekiranya diturunkan menentang kelab Jepun, Gamba Osaka pada aksi kelayakan pusingan play-off Liga Juara-Juara AFC, awal pagi esok.

Hazwan masih lagi belum membuat penampilan sulung dalam perlawanan kompetitif bersama JDT sejak Liga Super bermula.

Namun sepanjang beraksi bersama Selangor, penyerang kelahiran Sabah itu telah menjaringkan 36 gol dalam 68 perlawanan.

Pemain berusia 25 tahun itu menyertai JDT pada awal musim ini selepas bersama Selangor FA sejak 2014 sehingga musim lalu.

“Saya amat gembira diberi peluang namun berdebar-debar menunggu perlawanan menentang Gamba Osaka nanti.

“Bagaimanapun, apa jua halangan dan cabaran perlu dihadapi. Para pemain telah pun bersedia dari segenap aspek menerusi latihan yang telah dilakukan.

“Sekiranya saya diturunkan untuk bermain, saya pasti akan memberikan aksi yang terbaik,” kata Hazwan menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers.

Sebagai rekod, Hazwan memulakan karier bersama Kuala Lumpur FA dan menjadi pemain negara paling muda menjaringkan hatrik ketika menyarung jersi Malaysia. – MalaysiaGazette