Home Ekonomi Kedudukan Proton bergantung kepada tawaran rakan strategik

Kedudukan Proton bergantung kepada tawaran rakan strategik

KUALA LUMPUR – Sejauh mana kedudukan Proton Holdings Berhad (Proton) dapat diperkukuhkan dalam industri automotif banyak bergantung kepada rundingan dan tawaran yang dibuat oleh rakan strategiknya.

Penganalisis Kanan MIDF Research, Hafriz Hezry Harihodin berkata, Geely, sebagai contohnya, walaupun mempunyai akses di pasaran automotif China yang sangat besar tetapi adakah ia mahu membenarkan Proton memasuki pasaran mereka dan bersaing dengan model-model yang dikeluarkan.

Juga, sama ada Geely mahu terus menggunakan vendor-vendor Malaysia turut menjadi persoalan dalam kerjasama strategik itu.

Bagaimanapun, Proton memang tidak ada pilihan lain kecuali mendapatkan rakan strategik untuk terus berada dalam pasaran automotif.

Jualan Proton menyusut berbanding 10 hingga15 tahun yang lalu disebabkan kekurangan akses pasaran antarabangsa.

Selain itu, skala ekonomi turut menjadi antara cabaran utama Proton. Disebabkan faktor ini Proton sukar untuk bersaing dengan pemain industri yang jauh lebih besar.

Hafriz menambah, Proton cuma menjual sekitar 100,000 buah kenderaan setahun berbanding Toyota Motor Corporation yang menjual sehingga 8 hingga 10 juta buah setahun.

Apabila bilangan jualan tinggi, kos per unit dapat diturunkan dan ini mampu membantu untuk memberikan harga yang lebih kompetitif kepada para pembeli serta membantu dalam pelaburan semula ke dalam teknologi dan model-model baru.

Di Malaysia, cuma Proton sahaja yang melabur secara komprehensif ke dalam pembangunan model dari chasis sehingga kerangka badan kereta (upper body) dan enjin dan ini bukan pelaburan yang sedikit.

Tambahnya, sebagai contoh pelaburan sejumlah RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk pembangunan model dan chasis baru.

Sedangkan, kebanyakan pemain industri di Malaysia yang lain bergantung kepada prinsipal seperti Honda, Toyota dan Nissan untuk model baru yang berteknologi tinggi untuk dijual, jadi mereka sendiri tidak perlu melabur sebanyak Proton.

Prinsipal ini pula, mempunyai akses pasaran antarabangsa dan bilangan jualan yang tinggi, sekali gus membantu mereka mendapat kos per unit yang jauh lebih rendah berbanding Proton.

Syarikat-syarikat induk itu mampu untuk melabur lebih banyak ke dalam teknologi baru, kilang pembuatan antarabangsa dan rangkaian jualan di merata dunia.

Jadi mustahil Proton boleh bersaing dengan pemain besar ini dengan hanya mengharapkan pasaran Malaysia dan disebabkan itu Proton memerlukan rakan niaga yang mempunyai akses kepada pasaran antarabangsa yang besar.

Hafriz menambah, selain faktor skala ekonomi, Proton kini kekurangan modal disebabkan pelaburan ke dalam model-model dan teknologi masa lalu tidak menghasilkan pulangan yang mencukupi untuk dilaburkan semula kerana kebergantungan tinggi dalam satu pasaran iaitu Malaysia.

Lantaran itu, katanya, rakan strategik baru Proton perlu memiliki kemampuan memberi suntikan modal yang besar kepada Proton. – MalaysiaGazette