SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan akan mengheret Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke Mahkamah Tinggi untuk memutuskan sama ada beliau bersalah atau tidak atas dakwaan melanggar Peraturan Tetap 36(6) pada sesi persidangan DUN November tahun lalu.
Menurut peguam beliau, Datuk Kamaruddin Ahmad, tindakan DUN Selangor menghadapkan anak guamnya itu ke sesi pendengaran tertutup Jawatankuasa Hak dan Kebebasan disifatkan sebagai luar biasa.
Bercakap kepada media di luar Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini, beliau berkata, anak guamnya, Mat Nadzari langsung tidak merujuk kepada mana-mana Ahli Dewan ketika mengeluarkan kenyataan, pihak tertentu mempunyai niat untuk tidak mengiktiraf Raja Berperlembagaan.
“Dia hanya merujuk kepada perlembagaan DAP, dan parti DAP itu bukan Ahli Dewan Negeri Selangor. Jadi, anak guam saya tidak melakukan sebarang perlanggaran Peraturan Tetap 36(6),” katanya.
Kata Kamaruddin, DUN Selangor telah bertindak di luar bidang kuasanya dan dengan itu kemungkinan besar beliau akan membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi.
“Sebenarnya dari segi Peraturan Tetap 36(6), tidak sepatutnya DUN Selangor membuat usul merujuk anak guam saya ke jawatankuasa ini. Tidak sepatutnya.
“Kita lihat apakah DUN Selangor ini memihak kepada parti DAP? Sedangkan DAP bukan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor,” ujar beliau.
Sementara itu, Mat Nadzari ketika ditemui media berkata, beliau dipanggil untuk pendengaran tertutup berhubung usul yang di kemukakannya di bawah Peraturan Tetap DUN oleh ADUN DAP Sungai Pinang, Lim Siew Khim.
Betikutan kenyataan itu, katanya, beliau mendapat saman atau panggilan perintah daripada Pejabat DUN Negeri Selangor meminta supaya hadir ke sesi pendengaran tertutup itu.
“Saya hadir hari ini untuk memberikan penjelasan bagi didengar sendiri oleh mereka, apakah sebenarnya di sebalik kenyataan saya semasa dewan bersidang.
“Terpulang kepada jawatankuasa itu untuk membuat sebarang keputusan, tetapi saya akan heret mereka ke Mahkamah Tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette