Home Utama Polis rakam percakapan bekas perogol bersiri sejurus tiba di KLIA

Polis rakam percakapan bekas perogol bersiri sejurus tiba di KLIA

Tan Sri Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Polis telah merakam percakapan bekas perogol bersiri warganegara Malaysia, S. Selva Kumar sejurus dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki berusia 56 tahun itu telahpun memberi keterangan kepada pegawai polis di Balai Polis KLIA dan pihaknya akan memantau pergerakannya semasa berada di negara ini.

Selva Kumar, yang selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di Toronto, Kanada, tiba di KLIA pada pukul 7.30 pagi dengan menaiki pesawat Qatar Airways dari Doha.

Ditanya adakah Selva Kumar bebas untuk menetap di mana-mana tempat di Malaysia kecuali di Sabah, Khalid berkata ‘ya’ semasa menjawab pertanyaan Bernama melalui aplikasi WhatsApp.

Baca: Bekas perogol bersiri pulang ke Malaysia

Baca: Pesalah rogol bersiri dihantar balik ke Malaysia

Kerajaan Sabah hari ini mengharamkan Selva Kumar daripada memasuki negeri berkenaan kerana dikhuatiri boleh mendatangkan ancaman kepada orang awam khususnya wanita dan kanak-kanak.

Menurut Khalid, sebagai bekas banduan yang telah bebas, Selva Kumar, yang berasal dari Pulau Pinang, tidak perlu melapor diri di mana-mana balai polis dan dia bebas untuk bergerak seperti rakyat Malaysia yang lain.

Katanya, pihaknya telah memaklumkan kepulangan Selva Kumar kepada pihak berkuasa Kanada.

Selva Kumar dihukum penjara selama 24 tahun pada 1992 setelah didapati bersalah termasuk bagi 19 tuduhan serangan seksual.

Tempoh tahanan penjaranya tamat pada hujung bulan lepas.