Home Utama Zaid Ibrahim sertai DAP

Zaid Ibrahim sertai DAP

Zaid Ibrahim
PETALING JAYA – Datuk Zaid Ibrahim hari ini mengumumkan menyertai parti DAP dengan mengisi borang sebagai ahli biasa di hadapan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Beliau mengumumkan keputusan itu di kediamannya di Tropicana Golf Resort, Petaling Jaya kira-kira jam 11 pagi, sambil disaksikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan pada sidang medianya, Zaid berkata, beliau tidak berhasrat hendak memegang sebarang jawatan dalam parti itu melainkan sekadar ingin menyumbang membangunkan semula negara ini.

“Dengan sukacitanya saya ingin mengumumkan, saya telah menyertai DAP sebagai ahli biasa. Saya bergiat lama dalam politik, dengan satu prinsip yang tidak pernah berubah atau berganjak.

“Pemimpin mestilah wujudkan sistem sistem pentadbiran, di mana mereka mampu berlaku adil kepada semua golongan tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan.

“Saya percaya DAP mampu membantu saya mencapai matlamat ini,” katanya di hadapan kira-kira 50 penyokongnya termasuk wakil pemimpin dari PPBM, DAP dan PKR.

Menurut Zaid, beliau melihat parti DAP lebih efektif selain mampu menyumbang dalam menyelesaikan masalah negara.

Di Pulau Pinang, ujarnya, kerajaan DAP mentadbir begitu baik sekali dengan menyediakan peluang pekerjaan mencukupi, perumahan lebih baik dan persekitaran bandar bersih.

“Inilah politik yang berkesan iaitu suatu penyelesaian kepada masalah rakyat,” katanya.

Zaid merupakan bekas timbalan menteri dan pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu atas tiket Barisan Nasional – MalaysiaGazette