SEREMBAN – Dua lelaki maut manakala empat yang lain cedera parah dalam kemalangan babit dua kenderaan di Jalan Bukit Putus Seremban – Kuala Pilah, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Zainurin Shariff berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 8.10 pagi dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.
“Sebaik sampai di lokasi kemalangan, mangsa sudah dikeluarkan orang awam. Pemandu dan penumpang kereta Perodua Kelisa maut di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi cedera parah,” katanya kepada Bernama.
Zainurin berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Kuala Pilah dan kereta Perodua Kelisa yang datang dari arah Seremban bertembung di lokasi.
Kemalangan terbabit turut menyebabkan kereta Perodua Kelisa tesebut putus dua.
Zainurin berkata, selain 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Senawang dan Seremban, operasi menyelamat turut dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam dan pihak polis.
“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya. – Bernama