KUALA LUMPUR – Pelupusan saham Felda Global Ventures Berhad (FGV) oleh Lembaga Tabung Haji dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia (KPF) baru-baru ini adalah kecil dan tidak bermakna saham syarikat perladangan itu semakin hilang tarikannya.
Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, beliau dimaklumkan bahawa pelupusan saham oleh KPF dibuat atas keputusan pelaburan.
“Saya tidak tahu mengapa KPF melupuskan pegangan mereka. Tetapi jumlah yang dilupuskan sedikit. Mereka masih ada sejumlah besar saham FGV, ini bermakna KPF masih mempercayai keupayaan FGV,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan KPF yang menjual lima juta saham FGV pada 27 Januari lalu.
BACA: KPF lupus 5 juta saham FGV
Penjualan itu menjadikan pegangan KPF dalam syarikat perladangan kelapa sawit itu menurun kepada 206.759 juta atau 5.667 peratus.
Pada tarikh yang sama, Lembaga Tabung Haji juga melupuskan 150,000 saham dalam FGV.
Zakaria yang memantau situasi itu berkata, sehingga hari ini kaunter saham FGV sentiasa aktif.
Malah, ada pelabur institusi yang telah mengurangkan pegangan saham FGV masih membeli saham-saham syarikat perladangan itu dalam pasaran terbuka.
“Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pula terus menambah pegangan saham dalam FGV,” tambahnya.
Zakaria optimis prestasi kewangan suku keempat FGV yang akan diumumkan pada 22 Februari ini akan mengembalikan kepercayaan para pelabur kepada FGV.
Beliau berkata, penstrukturan semula FGV yang melibatkan tiga teras utama iaitu memacu organisasi itu lebih cekap, keberkesanan operasi dan pertumbuhan yang selektif pasti akan membuahkan hasil pada tahun ini.
Katanya, kedudukan harga saham FGV sekitar RM1.80 sesaham adalah stabil dan dijangka meningkat sejajar dengan prestasi syarikat itu sendiri.
“Pengukuhan FGV dalam operasi dan prestasinya memang menjadi fokus kami sehingga syarikat ini dalam keadaan kukuh dan sahamnya kembali berada dalam kedudukan 10 teratas dalam FBM KLCI.
“Bukan tahun ini (berada pada kedudukan 10 teratas) tapi pengurusan kanan FGV sedang bekerja dan berusaha keras untuk mengembalikannya semula,” kata Zakaria sambil berkata, pelabur-pelabur patut mengambil kesempatan sekarang untuk membeli saham FGV. – MalaysiaGazette
Comments are closed.