Home Dunia Pegawai Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia ditahan kerana rasuah

Pegawai Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia ditahan kerana rasuah

JAKARTA – Seorang pegawai di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia ditahan oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes rasuah.

Ketua Biro Hubungan Masyarakat KPK, Febri Diansyah hari ini berkata, pegawai itu ditahan di pejabatnya di Kuala Lumpur semalam dan akan dibawa pulang ke Jakarta secepat mungkin untuk didakwa.

Media-media dalam talian memetik Febri sebagai berkata, KPK dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat intipan terhadap kegiatan pegawai itu sejak beberapa bulan lepas.

Katanya, pegawai terbabit dipercayai meminta wang rasuah daripada ejen dan beberapa buah syarikat bagi mengeluarkan pasport dan visa untuk rakyat Indonesia yang berada di Malaysia.

Hasil siasatan awal mendapati T (kira-kira RM300,000) sejak tahun lepas.

Febri berkata, KPK juga telah menggeledah rumah pegawai terbabit di Depok dekat sini dan menyita sejumlah dokumen.

Ini adalah kes kedua berkaitan pengeluaran pasport secara rasuah di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur susulan penahanan dua pegawai di kedutaan itu sebelum ini. – Bernama