KUALA LUMPUR- Perogol bersiri, Selva Kumar Subbiah membenarkan pihak berkuasa melakukan pemantauan rapi terhadap dirinya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Selva Kumar bersedia memberi kerjasama dengan melaporkan diri ke balai polis meskipun tidak perlu berbuat demikian mengikut undang-undang.
“Selva Kumar memberitahu kami yang dia mahu tinggal di Lembah Kelang dan saya memberi jaminan kepada orang ramai untuk tidak perlu bimbang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Khalid, polis telah merekodkan kenyataan Selva Kumar semasa dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Selva Kumar, 56, pulang ke Malaysia selepas menjalani hukuman penjara selama 24 tahun akibat kesalahan serangan seksual di Toronto, Kanada.
Dia didapati bersalah menggunakan dadah serta melakukan serangan seksual terhadap wanita pada akhir 1980an dan awal 1990an dengan menyamar sebagai agen pencarian model, penerbit filem ataupun penari profesional.- MalaysiaGazette