KUALA LUMPUR– Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Bhd. (FGV) Datuk Zakaria Arshad dan menaruh keyakinan penuh terhadap beliau.
Jelas setiausaha KPF, Anuar Malek, tindakan koperasi menjual pegangan sahamnya di dalam FGV baru-baru ini adalah untuk mendapat keuntungan berikutan masa yang sesuai.
“KPF berpendapat bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk melaksanakan urusniaga jual-beli saham FGV bagi memperolehi keuntungan ketika harga meningkat dan akan membeli semula pada harga yang rendah.
“Urusniaga ini tidak terhad kepada portfolio pelaburan KPF di FGV sahaja tetapi ia juga adalah amalan biasa yang dilaksanakan kepada portfolio pelaburan yang lain.
“Lanjutan daripada urusan penjualan tersebut, terdapat gambaran yang negatif oleh pihak media terhadap prestasi operasi dan peniagaan FGV,” katanya di sini hari ini.
BACA: Keputusan KPF, TH bukan bermakna saham FGV hilang tarikan
BACA: KPF lupus 5 juta saham FGV
BACA: KPF lupus lagi saham FGV
Tambah beliau, corak kepimpinan Zakaria dilihat mampu memberi impak yang positif kepada prestasi semasa FGV pada masa depan.
KPF juga katanya yakin operasi dan perniagaan FGV adalah stabil, disokong dengan kenaikan harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi dewasa ini melepasi paras RM3,000 satu tan metrik.
KPF merupakan salah satu pemegang saham institusi terbesar di dalam FGV dengan ekuiti sebanyak 5.8 peratus yang mana pelaburan ini dibahagikan kepada pelaburan jangka panjang dan jangka pendek. -MalaysiaGazette