Home Politik Musa Aman janji jawab tohmahan presiden Warisan

Musa Aman janji jawab tohmahan presiden Warisan

Tan Sri Musa Aman
Musa Aman
KOTA MARUDU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini berkata beliau akan mendedahkan pembohongan serta menjawab tohmahan terhadap dirinya oleh pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) di depan rakyat.

Ketua Perhubungan UMNO Sabah itu berkata beliau akan berbuat demikian menerusi lawatannya ke beberapa kawasan di negeri tersebut.

“Tunggu… saya akan balas satu persatu. Saya akan jawab satu persatu di hadapan rakyat (mengenai) pembohongan besar presiden Warisan ini. Kasi tahu sama dia banyak lagi hal anda akan saya cerita satu persatu, (termasuk kes) Yayasan Sabah,” katanya ketika berucap pada perasmian GL Hotel, di sini hari ini.

Hotel 50 bilik milik Bumiputera itu beroperasi pada 1 Jan lalu.

Walaupun tidak menyebut nama, kata-kata Musa itu dipercayai ditujukan kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Presiden Warisan.

Musa turut menyanggah dakwaan yang beliau hanya tahu menyimpan duit termasuk simpanan kerajaan berjumlah RM3 bilion tanpa berbelanja.

Katanya kerajaan negeri mengamalkan perbelanjaan berhemat seperti yang dibentang dalam bajet negeri saban tahun.

“Tetapi kita sebagai kerajaan negeri mesti ada simpanan. Kita tidak mahu kerajaan negeri yang muflis, yang tidak ada kewangan. Bermacam-macam perkara boleh berlaku. Mana tahu keadaan (ekonomi) tidak menentu, ekonomi global tidak menentu. Kita mesti mempunyai simpanan,” katanya.

Katanya Sabah kini mempunyai ekonomi stabil serta diyakini pelabur dari dalam dan luar kerana kedudukan kewangan yang teguh hasil pengurusan yang cekap dan mantap.

Musa berkata semasa beliau mengambil alih jawatan Menteri Kewangan Sabah, simpanan kerajaan negeri hanya berjumlah sekitar RM100 juta yang jelas tidak cukup untuk membayar gaji penjawat awam negeri.

“Untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan, kita perlu membayar gaji pegawai kerajaan negeri sebanyak RM700 juta setahun, iaitu antara yang paling besar di negara ini sebab negeri kita negeri yang terbesar.

“Bilangan penjawat awam kita yang terbesar dan kita mesti cukup duit, kalau tidak gaji pegawai kerajaan tidak boleh bayar,” katanya menambah hasil perbelanjaan berhemat, simpanan kerajaan negeri adalah kukuh.

Beliau juga menegaskan berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, Sabah antara negeri yang terbaik dari segi pengurusan kewangan selain mempunyai agensi dengan penarafan empat dan lima bintang paling banyak.

— BERNAMA