SINGAPURA – Rang Undang-Undang Pilihan Raya Presiden Singapura (Pindaan) diluluskan Parlimen pada Isnin dengan sokongan majoriti selepas hampir tiga jam dibahaskan lapan anggota Parlimen.
Pilihan raya Presiden Singapura akan datang yang akan diadakan pada September tahun ini adalah sesuatu yang unik memandangkan ia telah diperuntukkan kepada calon orang Melayu selepas Yusof Ishak menjadi Presiden Singapura yang pertama hampir 50 tahun lalu.
Topik siapa yang akan menjadi calon daripada masyarakat minoriti Melayu timbul semula.
Bolehkah Halimah Yacob, wanita pertama Speaker Parlimen juga menjadi wanita pertama Presiden Singapura.
Ini boleh menjadi satu perkembangan yang unik bagi sejarah pilihan raya Presiden Singapura.
Semasa membahaskan Rang Undang-Undang itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing tersasul dan menyapa Halimah sebagai “Puan Presiden” dan bukannya “Puan Speaker”.
Kejadian itu berulang dua kali, dan mendapat respons menggalakkan di kalangan anggota Parlimen dan selepas itu ia menjadi tular di internet dengan ada warga internet yang membalasnya dengan tajuk “Rakyat S’pura mengucapkan tahniah kepada Halimah Yacob kerana menjadi presiden yang baharu.”
Pada waktu berita ini ditulis, Halimah masih belum menunjukkan sebarang minat untuk bertanding.
Bagaimanapun, tidak ada isu untuk beliau bertanding seolah-olah calon minoriti meninggalkan kawasan perwakilan kumpulannya (GRC), satu pilihan raya kecil tidak akan diadakan.
Perkara itu disahkan Chan memandangkan Halimah – sebagai satu contoh – merupakan anggota minoriti GRC Marsiling-Yew Tee.
Selain Halimah, beberapa tokoh masyarakat Melayu bagi sektor awam dan swasta dilihat calon berpotensi yang disebut-sebut akan menang.
Pada November tahun lepas, Channel NewsAsia menyiarkan satu artikel bertajuk: ‘Singapore’s next President: A look at potential contenders’.
Bekas menteri dan Speaker Parlimen Abdullah Tarmugi juga disebut-sebut sebagai calon berpotensi.
Abdullah – yang merupakan sebahagian daripada sembilan anggota Suruhanjaya Perlembagaan yang menyemak semula pemilihan Presiden – dilaporkan berkata beliau tidak memikirkan sangat untuk bertanding, dan beliau digalakkan rakan-rakannya untuk berbuat demikian.
Menteri-menteri yang ada ketika ini seperti Yaacob Ibrahim dan Masagos Zulkifli, dan bekas anggota Parlimen Zainul Abidin Rasheed juga dikenal pasti sebagai calon berpotensi.
Artikel yang ditulis Nur Afifah Ariffin berkata calon berpotensi dari sektor swasta termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Bank of Singapore Bahren Shaari dan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Po’ad Mattar.
Bukan sahaja rakyat Singapura, rakyat Malaysia juga memberi perhatian dengan perkembangan di republik ini.
Dalam temu bual dengan Bernama, agensi berita nasional Malaysia, di Istana pada November tahun lepas, Perdana Menteri Lee Hsien Loong ditanya sama ada beliau mempunyai calon-calon sedemikian dalam fikirannya.
“Dalam fikiran kami, tidak ada sesiapa secara khusus, tetapi kami tahu ada orang yang layak,” katanya.
Perdana menteri menjelaskan “tidak ada sesiapa yang disenaraipendekkan.”
“Ia bergantung pada siapa yang tampil ke hadapan. Bukan urusan kerajaan untuk mengaturnya. Calon itu sendirilah yang perlu tampil ke depan,” jelasnya.
Lee telah mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan yang antara lain menyaksikan “model cetusan hitus” yang dibuat bagi memastikan perwakilan bersifat pelbagai kaum dalam pejabat Presiden.
Ia diluluskan pada 9 Nov 2016 dengan anggota-anggota Parlimen mengundi memihak kepada cadangan kerajaan untuk membuat satu perubahan kepada pemilihan bakal Presiden dengan 77 anggota Parlimen menyokong dengan enam lagi menolak.
Singapura telah melalui lima penggal tanpa seorang Melayu dipilih menjadi presiden selepas Yusof Ishak yang berkhidmat sejak 1965 hingga 1970.
Tempoh penggal Presiden ketika ini Tony Tan Keng Yam tamat pada 31 Ogos.
— BERNAMA