KUALA LUMPUR- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menafikan keputusan untuk menjual pelaburan hartanah mereka di Britain atas arahan kerajaan yang mahu syarikat milik kerajaan (GLC) mencairkan aset di luar negara dan membawa pulang wang tersebut untuk mengukuhkan ringgit.
Dalam satu kenyataannnya di sini hari ini, KWSP berkata, penjualan hartanah tersebut sebenarnya didorong oleh peningkatan harga yang sudah sampai ke kemuncak dan entiti tersebut mahu merebut peluang meraih keuntungan lumayan.
Tegasnya, KWSP akan membawa pulang wang keuntungan hasil daripada penjualan hartanah berkenaan namun modalnya akan digunakan untuk pelaburan lain.
“Ini merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan untuk memaksimakan pulangan kepada pencarum.
Kami akan menjual pelaburan-pelaburan berkenaan apabila nilainya tinggi dan berdasarkan pusingan pasaran.
Kami percaya nilai bangunan-bangunan tersebut berada di kemuncaknya dan kami merasakan inilah masa yang terbaik untuk mendapatkan keuntungan modal,” katanya.
Tambah KWSP, keuntungan hasil daripada penjualan tersebut akan diagihkan sebagai dividen tahunan.
“Parameter pelaburan kami di luar negara kekal sama.
“ Kami akan melihat kepada pelaburan-pelaburan yang bersesuaian dengan pulangan parameter,” katanya lagi.
Pelaburan KWSP di Britain dan Eropah termasuk ruang pejabat komersial, rangkaian penjagaan kesihatan swasta dan hartanah perindustrian dan logistik.
Menyentuh mengenai impak Brexit, KWSP berkata, ia masih memantau perkembangan tersebut kerana masih terlalu awal untuk membuat sebarang penghakiman.- MalaysiaGazette