Home Utama PM garis tiga resepi kejayaan pada Pilihan Raya Umum

PM garis tiga resepi kejayaan pada Pilihan Raya Umum

Najib Razak

ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini menggariskan tiga resepi kejayaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang – keazaman, semangat pasukan dan strategi yang tepat.

Menggunakan analogi kejayaan pasukan Baiduri dari Perak yang muncul juara acara badminton sempena program tahunan isteri wakil-wakil rakyat BN di sini hari Sabtu, Perdana Menteri berkata, tiga resepi itu perlu menjadi panduan dan asas untuk mencapai kejayaan.

“Menang atau kalah dalan badminton itu soal kedua, (sebenarnya) yang penting menang pilihan raya,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program itu.

Baiduri, Badan Amal dan Usaha Negeri Perak, yang diwakili isteri wakil-wakil rakyat BN Perak, muncul juara badminton berpasukan selepas menewaskan pasukan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

“Saya melihat kejayaan Baiduri menang, kita mesti jadikan panduan…kita mesti ada perasaan nekad, keazaman untuk mencapai kejayaan. Ada keazaman, InsyaAllah akan mencapai kejayaan.

“Yang kedua, semangat sepasukan yang saya lihat begitu padu, (ia seperti) satu keluarga, satu ikatan yang tidak boleh dirungkai-rungkaikan oleh sesiapa dan ketiga untuk mencapai kejayaan, kita perlulah mempunyai strategi,” katanya.

Turut hadir, isteri beliau merangkap Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; dan beberapa menteri, timbalan menteri serta menteri besar.

Program tahunan itu bermula sejak 7 Februari lepas dan disertai 14 badan amal isteri wakil-wakil rakyat dari seluruh negara.

Najib turut meminta isteri wakil-wakil rakyat BN memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu rakyat.

“Menerusi badan amal dan isteri wakil-wakil rakyat ini, kerja kebajikan merupakan satu lagi saluran membantu rakyat yang dilanda musibah seperti banjir dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau berkata sekiranya isteri wakil-wakil rakyat boleh menjayakan peranan itu dan mempamerkan wajah yang prihatin terhadap rakyat, ia boleh menyumbang kepada kejayaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu pada program petang tadi, Najib menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan badminton dan boling yang merupakan dua acara dipertandingkan pada program tahunan itu. – Bernama