LUNDU – Polis sudah melulus dan mengeluarkan 20 permit kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu setakat ini.
berkata, semua permit itu dimohon oleh Barisan Nasional (BN).
“Setakat ini kita belum terima permohonan permit kempen daripada dua lagi calon. Hanya BN yang memohon permit kempen setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pusat pengundian awal di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Lundu di sini pagi ini.
PRK DUN Tanjong Datu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amar Jamilah Anu menentang Rapelson Richard Hamit daripada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru dan Johnny Aput daripada Parti Reformasi Negeri (Star).
Chee Keong berkata, tempoh kempen masih berada dalam keadaan tenang tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini.
Mengenai kawalan keselamatan pada hari pengundian 18 Februari nanti, Chee Keong berkata, pihaknya sudah merangka kaedah terbaik untuk memastikan proses itu berjalan lancar.
“Sejak dari awal kami (polis) sudah membuat perancangan rapi menghadapi PRK Tanjong Datu ini termasuk memastikan trafik lancar pada hari pengundian terutama di pusat penjumlahan undi.
“Kita akan tempatkan anggota yang mencukupi untuk memastikan laluan trafik lancar dan keselamatan terjamin,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Dewan Masyarakat Lundu sebagai lokasi pusat penamaan calon, pusat penjumlahan rasmi undi dan pusat pengiraan undi awal.