Home Nasional Ku Nan cari jalan selesai hutang warga DBKL

Ku Nan cari jalan selesai hutang warga DBKL

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bercakap pada media selepas hadir Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Institut Latihan DBKL (IDB), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan sedang mencari jalan untuk ‘menyelamatkan’ lebih 1,276 warga sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibelenggu hutang pinjaman.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, hasil siasatan dan pemantauannya sendiri mendapati pendapatan bulanan yang diperoleh kakitangan DBKL sebahagian besarnya habis untuk membayar hutang.

Hasil kajian dan pemantauan kementerian juga mendapati terdapat unsur penipuan dalam mendapatkan kelulusan daripada segi pendapatan untuk memudahkan permohonan pinjaman.

“Jadi, kami mengambil tindakan disiplin ke atas Jabatan yang menandatangani dan meluluskan permohonan kakitangan yang kemudian pinjam wang lagi..Itu masalahnya.

“Saya akan bertindak serius dalam perkara ini yang mana DBKL berupaya mengambil alih pinjaman itu dari agensi berkaitan dan peluang membenarkan syarat tanggungan tiga lebih satu pertiga untuk meminjam.

“Kita akan memanjangkan tempoh pembayaran balik pinjaman itu dengan faedah rendah menerusi potongan gaji yang boleh mengurangkan beban hutang kakitangan dan ini antara cadangan dan kaedah yang sedang diperhalusi,” katanya.

“Kita berganding bahu dengan agensi-agensi penyedia pinjaman di bawah kementerian iaitu Angkatan Koperasi Berhad (Koperasi), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Jabatan Perakaunan Negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Cheras.

Terdahulu beliau berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga DBKL dan memperkenalkan pasukan Bola Sepak DBKL di Institut Latihan DBKL, Jalan Yaakob Latiff di sini.

Turut bersama, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan dan Datuk Bandar Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

Tambah beliau, ada kakitangan DBKL yang meminta kerjasama bahagian gaji supaya menyokong pendapatan bulanan dan mengubahsuai slip gaji bulanan supaya melayakkan diri untuk pinjaman baharu.

“Ini budaya kerja yang tidak sihat oleh pekerja pada kemudian hari dibelenggu hutang pinjaman agak melampau lagi sehingga menjejaskan produktiviti dan perkhidmatan mereka.

“Jika dia menerima gaji RM3,000 hampir majoriti pendapatannya dibayar pinjaman dengan faedah dan tinggal RM50 hingga RM100 sahaja ditangan untuk keluarga.

“Inilah senario kritikal yang dihadapi oleh kebanyakan kakitangan DBKL (kakitangan sokongan) yang memerlukan penyelesaian segera,” ujarnya lagi.

Dalam ucapan sama, Tengku Adnan menasihatkan warga DBKL supaya mengubah minda dan mengamalkan budaya perkhidmatan yang berintegriti demi menambahbaik sistem penyampaian kepada rakyat.

“Ubah minda dan cara pemikiran anda, jangan anggap cukup bulan terima gaji dan tidak mempedulikan isu sekeliling anda.

“Apakah anda tidak rasa sedih  atau malu apabila sebut sahaja DBKL, orang anggap berkorupsi.. ia menyebabkan anda sendiri gagal berkhidmat secara beintergriti dan saya sedih dengar itu.

“Sebab itulah saya melakukan perubahan di semua peringkat jabatan DBKL demi memperbaiki mutu perkhidmatan selaras dengan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Saya hanya pembuat dasar, tetapi anda adalah barisan pertama DBKL dan pelaksana setiap dasar yang dirancang DBKL.

“Jadi sila ubah cara pemikiran dan tingkatkan mutu perkhidmatan dan sistem penyampaian anda untuk memartabatkan perkhidmatan awam anda semua.

“Kalau tidak berpuas hati dengan pengurusan atau saya sendiri, sila berani meluahkan pendapat, kita boleh menyediakan anda persekitaran pekerjaan yang disukai, tetapi dengan syarat perlu baiki mutu kerja,” tegas beliau. – MalaysiaGazette