Home Ekonomi AirAsia X gantung laluan ke Mauritius

AirAsia X gantung laluan ke Mauritius

KUALA LUMPUR – AirAsia X Berhad hari ini mengesahkan penggantungan perkhidmatannya tiga kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Mauritius.

Ia adalah satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan terus dari Malaysia ke Mauritius selepas Air Mauritius menghentikan penerbangan terus pada tahun lepas.

AirAsia X berkata, penerbangan akhir Kuala Lumpur-Mauritius adalah pada 24 Mac tahun ini manakala dari Mauritius-Kuala Lumpur pada 25 Mac ini.

Tambah AirAsia X, penggantungan laluan Mauritius itu adalah sebahagian rancangan besar syarikat dalam penstrukturan rangkaian dalam menambah baik kecekapan operasi dalam aspek penggunaan pesawat.

“Ia juga  untuk mempercepatkan pertumbuhan kapasiti dalam pasaran utama AirAsia X di Australia, China, Taiwan, Jepun dan Korea,” katanya.

Bagaimanapun, sumber-sumber memberitahu, keputusan secara tiba-tiba mungkin disebabkan oleh tekanan daripada kumpulan-kumpulan etnik tempatan yang melobi kepada pihak berkuasa di Mauritius untuk menghentikan penerbangan tersebut.

Ketua Ketua Komersial AirAsia X Berhad, Arik De, berkata: “Keputusan untuk menarik diri daripada Mauritius terpaksa dibuat untuk menyusun semula strategi perniagaan kami dalam menyediakan rangkaian yang menyeluruh dan mendominasi pasaran utama dengan meningkatkan kapasiti agar dapat beroperasi dengan lebih cekap. ”

Walau bagaimanapun, terdapat spekulasi AirAsia X menggantung operasi ke Mauritius disebabkan lobi oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang ada kaitan dengan Air Mauritius. – MalaysiaGazette