Home Nasional Cuaca buruk, feri ke Pulau Tioman dihentikan sementara

Cuaca buruk, feri ke Pulau Tioman dihentikan sementara

Bluewater Express

KUANTAN – Cuaca buruk yang menyebabkan laut bergelora dan angin kencang mengakibatkan perkhidmatan feri ke Pulau Tioman terpaksa dihentikan sementara waktu sehingga cuaca bertambah baik.

Pengurus Operasi Bluewater Express Mohammad Syafiq Farhan berkata keputusan itu dibuat sejak tiga hari lalu atas faktor keselamatan penumpang dan kapten feri yang tidak mahu mengambil risiko menghantar dan mengambil pelancong.

“Kami menerima rungutan daripada pelancong yang mahu agar perkhidmatan feri diteruskan, namun kami terpaksa menolak kerana perkara ini melibatkan nyawa penumpang.

“Setakat ini, kami meninjau keadaan cuaca dan akan kembali beroperasi sebaik sahaja keadaan bertambah baik,” katanya semasa dihubungi di sini, Selasa.

Mohammad Shafiq menambah pelancong yang hendak membeli tiket dimaklumkan mengenai perkara itu di kaunter pembelian, namun pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya pelancong telah berada di Pulau Tioman.

Beliau berharap pelancong dapat bersabar dengan ujian itu memandangkan penduduk tempatan di pulau pelancongan itu juga tidak dapat keluar.

“Ada (pelancong) yang merungut meminta kami meneruskan perkhidmatan feri kerana telah membeli tiket penerbangan atau bas…tetapi kami memang tidak dapat menunaikan permintaan itu,” katanya.

Mohammad Syafiq menambah difahamkan terdapat kira-kira 500 pelancong yang terjejas akibat masalah itu dan kejadian serupa juga berlaku pada sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, melibatkan 400 pelancong.

“Pada masa itu, laut tidak terlalu bergelora, tapi angin begitu kuat. Itu pun kami tidak mahu mengambil risiko, apatah lagi dalam situasi sekarang. Kami terpaksa menghentikan operasi selama dua hari pada waktu itu,” katanya.

Bluewater Express menawarkan perkhidmatan feri ke Pulau Tioman dari Mersing, Johor dan syarikat itu mempunyai sembilan buah feri yang setiap satu boleh memuatkan 200 penumpang dalam satu-satu masa.

Jabatan Meteorologi baru-baru ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berlaku sehingga Jumaat ini.

— BERNAMA