CHITTAGONG – Kapal Malaysia yang membawa bantuan kepada etnik Rohingya, yang melarikan dari daripada keganasan berdarah tentera mendarat di bandar pelabuhan, Chittagong, Bangladesh hari ini selepas ia berhadapan dengan bantahan di Yangon.
Para pegawai kanan Bangladesh dan diplomat Malaysia berkumpul di pelabuhan itu ketika Nautical Aliya berlabuh di bandar selatan Bangladesh, di mana barangan akan dibawa ke kem Rohingya.
“Ia telah berlabuh di Pelabuhan Chittagong. Barangan dalam kapal ini akan mula dipunggah selepas majlis ringkas (selesai) dalam beberapa minit lagi,” kata Setiausaha Lembaga Pelabuhan Chittagong, Omar Faruque kepada AFP.
Lori-lori akan membawa 1,472 tan makanan, pakaian dan barangan perubatan ke Cox Bazar yang terletak kira-kira 200 kilometer ke selatan Chittagong untuk diedarkan kepada beribu-ribu pelarian Rohingya.
Pada awalnya kapal itu merancang untuk melabuh di Teknaf, selatan Bangladesh di mana kira-kira 70,000 etnik Rohingya meninggalkan negeri Rakhine, Myanmar sejak Oktober lalu bagi menyelamatkan diri daripada keganasan sejak Oktober lalu.
Kapal itu juga cuba berlabuh berhampiran Pulau Kutubdia semalam namun ‘isu teknikal’ memaksa ia belayar ke utara ke Chittagong, kata ketua pentadbir wilayah, Ruhul Amin kepada AFP.
Berpuluh-puluh sami Budha dan penunjuk perasaan membantah ketibaan kapal itu di ibu negara Myanmar, Yangon pada minggu lalu dengan ada antara mereka mengibarkan bendera negara itu dan plakad berbunyi ‘No Rohingya’.
Myanmar menafikan kewarganegaraan etnik Rohingya walaupun mereka telah tinggal di negara itu sejak beberapa generasi lalu.
Kumpulan-kumpulan nasionalis Budha menganggap mereka sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh.
Beratus-ratus etnik Rohingya telah dibunuh dalam kempen yang ganas, yang mana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata ia mungkin penghapusan etnik.
Beribu-ribu etnik Rohingya telah melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh dengan membawa berita pembunuhan dan rogol yang mengerikan.
Layanan Myanmar terhadap Rohingya telah mencetuskan kritikan antarabangsa, termasuk Malaysia, yang mana jarang pertelingkahan berlaku antara negara di Asia Tenggara.
Pada mulanya Myanmar enggan membenarkan kapal tersebut memasuki perairan negara itu dan melarangnya belayar ke ibu negeri Sittwe, Rakhie.
Penghantaran barangan bantuan dilakukan beberapa hari selepas laporan PBB mendakwa pihak berkuasa keselamatan Myanmar melakukan pembunuhan secara besar-besaran, merogol dan mendera terhadap etnik Rohingya. – AFP