KUALA LUMPUR – Memang tidak dapat dinafikan jumlah penjawat awam sedia ada di negara ini cukup besar bilangannya dan menyebabkan kerajaan perlu mengeluarkan peruntukan besar kepada kumpulan tersebut.
Dengan jumlah 1.6 juta orang penjawat awam, sudah tentu perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan itu mencetuskan kebimbangan memandangkan ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi tempias kepada negara ini.
Apatah lagi, krisis yang melanda Greece, merupakan contoh yang berlaku akibat perbelanjaan besar untuk penjawat awam sehingga ekonomi negara itu runtuh.
Penganalisis ekonomi, Rusli Abu Yamin tidak menolak kebimbangan itu yang menyebabkan isu jumlah penjawat awam dicetuskan sejak kebelakangan ini.
“Tidak dapat tidak, kita perlu akui jumlah penjawat awam negara seramai 1.6 juta adalah satu angka yang besar. Jumlah yang besar ini menyebabkan banyak tugas-tugas bertindan. Sebagai contohnya kita lihat kita ada berapa banyak agensi Bumiputera, kita ada Mara, PUNB dan sebagainya. Agensi-agensi diwujudkan memang untuk menawarkan peluang pekerjaan.
“Dan, kebanyakan dalam kalangan penjawat awam sedia ada memang ada yang tidak lagi produktif seperti mana ketika mereka mula-mula bertugas,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambahnya, dalam sektor awam pula kenaikan gaji dan pangkat pula berdasarkan tempoh selama mana bekerja. Ini bermakna, lagi lama seseorang penjawat awam bekerja, selagi itu dia akan menikmati kenaikan pangkat dan gaji.
Setiap kali berlaku kenaikan, kerajaan terpaksa membayar gratuiti yang banyak. Ini belum lagi peruntukan 60 peratus daripada gaji yang diperoleh sekarang akan dinikmati dalam bentuk pencen.
Situasi ini cukup berbeza dengan kakitangan bawahan syarikat swasta yang mana prestasi mereka dinilai berdasarkan Indeks Prestasi Utama (KPI).
Katanya, walaupun ada pengurusan kanan sesebuah syarikat swasta seperti ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat milik kerajaan (GLC) dibayar gaji sebanyak RM60,000 sebulan berbanding penjawat awam Jusa C sebanyak RM19,000 tetapi peneraju GLC itu perlu bekerja untuk meningkatkan pendapatan syarikat.
Lagipun, di setiap GLC atau syarikat swasta yang lain, hanya mempunyai seorang CEO berbanding di peringkat penjawat awam mempunyai ramai kakitangan peringkat atasan dan mereka pula terdiri dalam pelbagai kategori jawatan.
CEO entiti swasta pula bertaraf kontrak manakala pengurusan kanan penjawat awam pula berstatus pekerja tetap. Ini belum lagi termasuk kemudahan-kemudahan lain yang dinikmati oleh kakitangan awam.
“Sebenarnya kakitangan awam lagi mewah daripada kakitangan swasta,” katanya.
Rusli percaya kerajaan ‘tersepit’ dalam menghadapi isu ini tetapi tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia adalah majikan terbesar bagi pekerja-pekerja Melayu.
Malah, beliau percaya kerajaan tidak akan menghentikan penjawat-penjawat awam meskipun isu mengenainya tercetus sejak kebelakangan ini.
Namun, katanya, dalam menghadapi senario ekonomi semasa dan sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan perlu memperlahankan pengambilan kakitangan, menimbang status tawaran kerja dan melihat semula skim gaji awal, tambahnya. – MalaysiaGazette