PUTRAJAYA – Majikan yang mahu menggunakan khidmat pekerja asing diberi peluang terakhir mendaftarkan pekerja yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah menerusi sistem Kad Penguatkuasaaan sementara atau e-Kad.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menyarankan majikan membawa dan mendaftarkan pekerja terbabit sebelum tarikh akhir 30 Jun 2017 mengikut syarat-syarat yang ditetapkan Jabatan Imigresen.
Katanya, selepas tempoh pendaftaran itu, setiap pekerja asing yang didaftarkan di bawah Program e-Kad akan diberi kad sementara e-Kad bertempoh 1 Julai 2017 hingga 15 Februari 2018 dan kalau ada mana-mana pihak mengemukakan contoh kad lain, selain daripada e-kad yang diperakui imigiresen maka ia tidak sah.
“Kad Penguatkuasaan sementara itu mengandungi ciri keselamatan, nama dan majikan serta kod QR yang akan memaparkan butiran biometrik pekerja asing itu, selain butiran majikan yang lengkap dan sahih dengan tanda tangan Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen di belakang kad.
“Selepas tempoh itu Jabatan Imigresen akan melaksanakan gerak gempur penguatkuasaan serta serbuan dan mana-mana pekerja yang gagal memiliki kad sementara itu akan ditahan dan dihantar ke depoh sebelum melakukan proses pengusiran keluar.
“Ini peluang terakhir yang kita sediakan untuk majikan supaya tampil mendaftarkan pendatang asing sebelum 30 Jun ini dan tempoh itu tidak akan dilanjutkan selepas ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya di sini.
Tambah beliau, setakat ini proses pendaftaran e-Kad berjalan lancar di ibu pejabat dengan penglibatan para angota dan pegawai penguatkuasa Imigresen termasuk di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, setakat ini ratusan orang warga asing bersama majikan masing-masing hadir mendaftarkan diri untuk mengelak tindakan dan dinasihati supaya elak daripada mendaftar pada saat-saat akhir kerana ia akan menyukarkan semua pihak.
“Kita mensasarkan 400,000 hingga 600,000 orang untuk tampil mendaftarkan diri dalam lima sektor pekerjaan yang ditetapkan kerajaan.
Secara purata, Jabatan Imigresen menerima pendaftaran dua pekerja minumum dan mencecah hingga 50 orang untuk setiap majikan.
“Walaupun berlaku masalah teknikal sehingga sistem tergendala buat seketika sebentar tadi tetapi keadaan kembali normal dan proses pendaftaran pekerja asing berjalan lancar dengan kekuatan peralatan teknologi dan pegawai yang bertugas.
“Sekiranya angka itu boleh mencecah sehingga sejuta, kita juga bersedia untuk membuka kaunter dan memanjangkan tempoh masa untuk melicinkan pendaftaran itu,” ujarnya lagi.
Manakala bermula 1 Julai ini hingga Februari 2018, katanya, Imigresen menerima pendaftaran pekerja asing program penggajian semula untuk sahkan pekerjaan. – MalaysiaGazette