Home Politik Noh kena minta maaf ketelanjuran Jamal

Noh kena minta maaf ketelanjuran Jamal

Jamal Yunos membawa van jenazah sebagai protes berkenaan isu Ketulusan Kerajaan Negeri Selangor Dalam Mengurus Wang Rakyat dan Kedai Judi di hadapan Pejabat SUK Selangor, Banggunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, kelmarin. foto SAFWAN MANSOR, 14 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor kesal dengan kenyataan Tan Sri Noh Omar yang menyokong tindakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar membawa van jenazah dan keranda ketika melakukan demonstrasi di hadapan bangunan pentadbiran Kerajaan Selangor (SUK), kelmarin.

Lantaran itu, beliau menyarankan Noh memohon maaf atas ketelanjuran Datuk Seri Jamal Yunos dan mencabar UMNO Selangor untuk mengambil tindakan tegas terhadapnya.

Pengarah komunikasinya, Muhammad Naqib Nasaruddin berkata, tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu boleh disifatkan seperti mengganggu kesejahteraan dan kemakmuran negeri tersebut.

Noh seharusnya lebih peka kepada sensitiviti agama dan masyarakat kerana van jenazah dan keranda bukanlah barangan yang boleh dipersendakan.

“Tidak masuk akal apabila seorang yang bertaraf menteri boleh menyokong tindakan yang seolah-olah mempermainkan agama itu malah mengganggu urusan jenazah dan proses-proses berkaitan.

“Adakah Noh begitu lemah untuk menegur salah laku Jamal sehingga terpaksa menyokong tindakan tidak bertanggungjawab itu?,” katanya di sini.

Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Haris Kasim dalam satu kenyataan melahirkan rasa kesal di atas penyalahgunaan van jenazah tersebut.

Malah dalam siasatan awal JAIS mendapati Jamal telah memanipulasi dan mengambil kesempatan diatas pihak yang menguruskan van jenazah. – MalaysiaGazette